
Jika kita bertanya kepada penyokong Manchester United pemain mana yang mereka rasa patut ‘membungkus’ kerjaya mereka di kelab, mesti ramai akan jawab nama yang sama: Harry Maguire.
Ketua pasukan itu – yang dengan mudahnya termasuk dalam senarai ketua pasukan paling teruk dalam sejarah United – dikenali sebagai musuh ketat nombor 2 dalam kalangan penyokong selain daripada Joel dan Avram Glazer.
Maguire diberikan banyak gelaran dalam masyarakat penyokong United seperti “kepala balang” dan “peti ais” bukan sahaja kerana rupa beliau tetapi kerana prestasinya juga.
Beliau kini pemain yang paling dibenci bukan sahaja dalam kalangan penyokong tetapi pemain lama United seperti Roy Keane, ketua pasukan United yang paling digemari.
Pihak media juga tidak akan melepasi peluang untuk bercakap tentangnya setiap hari selepas mengapi-apikan khabar angin bahawa Maguire mempunyai perbalahan dengan Ronaldo.
Pemain no.1 dibenci melawan wira no.1. Semestinya semua orang akan menyokong Ronaldo walaupun kedua-dua pemain tersebut tidak mempaparkan prestasi yang baik sejak kebelakangan ini.
Tambah pula dengan prestasi yang merudum sejak beberapa tahun, ahli keluarga Maguire mempunyai tabiat mereka yang suka menyindir penyokong United kerana sering mengkritiknya.
Maguire juga hanya memburukkan dirinya sendiri selepas terlampau yakin dengan mengungkit prestasinya bersama England dan bagaimana beliau tetap dipilih oleh jurulatih, Gareth Southgate walaupun tidak bermain di bawah Erik Ten Hag.
Secara mudahnya, beliau bagaikan ‘menyiram minyak tanah’ kepada badannya kemudian menyalakan mancis dan orang lain hanya perlu mengipas.
Kita tidak boleh menafikan bahawa Rakan-rakan sepasukannya di England yang sering memuji Maguire juga antara punca permainannya terjejas.
Luke Shaw, John Stones dan Jordan Henderson ialah antara pemain yang sering memberikan pujian kepada Maguire walaupun pemain pertahanan tengah tersebut tidak bermain dengan baik.
Ini hanya menambah kepada masalah utama Maguire iaitu beliau besar kepala – bukan sahaja secara fizikal tetapi juga secara mental.
Sikapnya yang agak narsistik dan keyakinan diri yang tinggi ialah salah satu sebab kerana beliau dibenci penyokong lain.
Sebagai ketua pasukan, Maguire sepatutnya menjadi contoh kepada pemain belia – untuk belajar daripada kesilapan dan reti adaptasi diri sendiri dengan tekanan luar tetapi beliau buktikan dirinya sememangnya jauh daripada pemain yang boleh dijadikan idola.
Mungkin beliau penat setiap hari orang mengutuknya dalam media sosial, di mana segala benda beliau buat – baik atau buruk, menjadi topik makian orang lain.
Ada yang akan berkata Maguire ‘layak’ dikutuk kerana perangainya tetapi itu tidak bermakna kita boleh ketepikan sikap perikemanusiaan semata-mata untuk bola sepak.
Kadang-kadang, Sis perlu mengaku bahawa ada sedikit perasaan simpati kepada Maguire sebab ada kalanya orang mengutuk dengan bukannya mengkritik.
Ada kala penyokong sampai menghantar ugutan bunuh, mengharapkan ibunya mendapat kanser hanya kerana beliau seorang pemain yang tidak baik.
Dalam internet, seolah-olah semua bertukar menjadi binatang yang tidak ada akal, mendera orang secara melampau atas sebab seseorang itu ‘layak’ kena begitu.
Walaupun pada hari beliau boleh dipuji, penyokong tidak memberikan penghargaan yang beliau layak untuk dapat.
Ini bukti bahawa beliau kini dibenci bukannya kerana prestasi, tetapi kerana beliau bernama Harry Maguire dan bermain untuk Manchester United.
Hakikatnya, media sosial penuh dengan manusia yang takut untuk menyuarakan pendapat mereka sendiri kerana tahu akan dibuli.
Beliau sepatutnya sedar yang lagi banyak pertahankan diri, lagi teruk beliau akan kena.
Beliau perlu berhenti bercakap dan mula memikirkan dirinya sendiri dengan menambaik baik cara permainan, bagaimana untuk membaiki hubungan dengan penyokong dan kedudukan dalam Manchester United yang sudah lama diragui.
Pilihan yang terbaik untuk Maguire ialah menaikkan prestasinya, pindah ke liga lain dan menjauhkan diri daripada media di England yang menunggu kesilapannya besar atau kecil.
*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM

