Tip Belanjawan 2023: Tangani ehwal poket rakyat

Dari Penulis

TIP # 6: Malaysia tidak berhadapan dengan krisis tetapi rakyat masih dibelenggu dengan kepayahan kehidupan. Lihat poket rakyat dalam Bajet 2023.

Menteri Kewangan (MK) dan Gabenor Bank Negara (Gabenor) senada-Malaysia tidak berhadapan dengan krisis ekonomi, ada tanda pemulihan ekonomi yang meyakinkan, dan Ringgit bukan petunjuk mutlak kedudukan ekonomi negara.

Sudah dua kali MK bertiktok mengenai hal ini dan Gabenor juga senada dalam ucaptamanya di Khazanah Megatrend baru-baru ini, rata-rata T20 yang hadir.

Bila saya bertanya melalui FB berkaitan hal ini-‘Yang Anda Rasa?’ Umumnya, balasan yang saya terima adalah keluhan, tidak yakin ekonomi kita berada di landasan pemulihan.

Rakyat dan peniaga merasa hidup dan perniagaan sekarang lebih memeritkan. Rakyat dan perniaga bercakap mengenai kehidupan dan mata pencarian harian mereka yang terjejas. Kos sara hidup yang membebankan.

Saya ahli ekonomi, saya faham petunjuk makro. Saya faham, setuju dan sahkan apa yang diutarakan oleh MK dan Gabenor. KDNK meningkat 3 suku berturut-turut, eksport meningkat dengan tinggi susulan penyusutan Ringgit, jualan borong dan runcit meningkat, pengeluaran industri meningkat, jualan kereta melonjak, memang betul TETAPI ini BUKAN ekonomi rakyat di luar sama. Kemungkinan besar semua ini tidak dirasai oleh majoriti rakyat Malaysia.

Mengapa?

Berdasarkan bilangan pendaftaran perusahaan di Malaysia, 97% adalah mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan dominasi perusahaan mikro (kurang dari 5 pekerja), 70% dari keseluruhan perusahaan berdaftar.

Ditokok perniagaan tidak formal (tidak berdaftar), yang rata-rata mikro mungkin angka ini lebih besar. Sekitar 7 juta (66%) tenaga kerja Malaysia bekerja dengan PMKS. Sekitar 1.26 juta rakyat terlibat dengan perniagaan tidak formal-jual nasi lemak dan kuih, gerai makan dan berniaga kecil-kecilan.

Hanya 8.5% dari eksport negara disumbang oleh PMKS. PMKS umumnya tertumpu kepada perniagaan dalam negara dan banyak yang bersifat lokal-dalam kampung, di pekan dan daerah sendiri sahaja. PMKS menyumbang sekitar 38% dari KDNK. Ramai pekerja tetapi sumbangan KDNKnya kecil berbanding perusahaan besar/korporat.

Apa erti pada mereka bila KDNK dilapor meningkat 3 suku berturut-turut? Eksport meningkat dengan ketara? Pengeluaran industri meningkat? Jualan kereta melambung 600%?

Mungkin semua ini tiada makna. Ini laporan ‘kayangan’, laporan orang tak makan di gerai tepi jalan, laporan orang tak pergi pasar, kata mereka dalam lontaran balik kepada pertanyaan saya. Maaf. Itu kata mereka.

Sekian lama kita bercakap tentang kumpulan pendapatan rendah (B40 atau mid-M40 ke bawah). Berdasarkan Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah 2019 (sebelum COVID-19 melanda) hampir 50% dari isi Rumah Malaysia mempunyai pendapatan dalam kategori rentan, sangat mudah terjejas.

Lebih terperinci, dalam 9 buah negeri, lebih dari 50% isi rumah berpendapatan rentan, mudah terjejas. Ukuran kerentanan perlu diberi perhatian. Mereka bekerja, ada pendapatan tetapi, mudah cerita kehidupan mereka sempit, tidak selesa dan payah.

Pandemik Covid-19 telah menyebabkan kejatuhan pendapatan sekitar 3.1 juta isi rumah, 41% dari jumlah isi rumah Malaysia 7.6 juta. Laporan anggaran Kajian Pendapatan Isi Rumah 2020 melaporkan 9 buah negeri mengalami kejatuhan pendapatan isi rumah lebih dari kejatuhan pendapatan Malaysia (kejatuhan 11.3%).

Baca artikel berkaitan: Tip Belanjawan 2023: Saiz penjawat awam dan subsidi bersasar

Untuk kumpulan berpendapatan rendah yang terjejas teruk ini-apa erti ekonomi semakin pulih, berada di landasan yang kukuh? Bukan KDNK, bukan eksport, bukan jualan kereta, bukan pengeluaran industri, tetapi apa yang ada dalam poket mereka!

Kemajuan ekonomi matlamat akhirnya mesti jelas, untuk kesejahteraan kehidupan rakyat. Ini hilang dari radar tiktok MK dan ucaptama Gabenor. MK dan Gabenor tidak salah, melapor prestasi ekonomi negara, tetapi ‘ehwal poket’ rakyat tertinggal. Maka, kayanganlah dengarnya. Pada rakyat, ini bukan cerita aku. Terpinggir, mungkin itu yang mereka rasa.

Kadar pengangguran yang semakin menurun,(3.7%) dan kadar inflasi yang terkawal (4.4%) juga dipetik oleh MK dan Gabenor. Tanda ekonomi semakin pulih. Rakyat lebih senang, selesa?

Cabaran pekerjaan di Malaysia bukan ‘pengangguran’ secara mutlak. Bukan tidak ada kerja. Sebelum dilanda Covid-19, ketika kadar pengangguran rendah (sekitar 3%), keluhan berkaitan pekerjaan telah kita dengar. Apatah lagi, berikutan penutupan hampir semua sektor ekonomi dan PKP yang menghadkan pergerakan semasa krisis Covid-19, pengangguran mendadak naik, tertinggi 5.3% pada Mei 2020, 826 ribu menganggur.

Kadar pengangguran turun, masalah selesai? Kita seolah lupa dengan permasalahan sebenar, iaitu kita ketandusan pekerjaan berkualiti-penciptaan pekerjaan yang berkualiti sangat rendah, kadar upah/gaji rendah, tidak setimpal dengan masa dan kelulusan, agihan pekerja-majikan kelihatan tidak saksama, lambakan pekerja asing tanpa kemahiran yang tinggi mengasak keluar (crowd-out) pekerja tempatan dalam kategori yang sama, umumnya kumpulan berpendapatan rendah yang rendah kelayakan mereka.

Untuk tahun 2020 hanya 25 ribu pekerjaan mahir baharu yang dicipta. Tahun yang sama seramai 223 ribu graduan dilahirkan. Seramai 1.36 juta tenaga kerja berijazah adalah ‘under employed’, pekerjaan dan gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan mereka. Terkini jumlah ini mencecah 1.8 juta. Mereka bekerja, kadar pengangguran kelihatan menurun, tetapi mereka resah, terasa tidak berbaloi.

Memedihkan hati dan perasaan bukan sahaja graduan malah ibu bapa juga. Isu graduan menganggur sudah lama (sejak 2006, seingat saya), dibincang. Jumlah ini semakin meningkat setiap tahun. Mungkin kerisauan #1 dalam kalangan siswazah dan ibu bapa. Lebih malang kalau rakyat menyimpulkan, apa guna masuk universiti. Kerajaan pulak melaung TVET tanpa henti. Masalah sebenar? Siapa tangani?

Tak perlulah sangat menyalahkan graduan dan institusi pendidikan tinggi. Graduan IPT Malaysia pada saya secara purata ok, lebih kurang sama saja dengan graduan dahulu. Mereka bukanlah graduan universiti terkemuka dunia tetapi boleh bekerja dengan baik dan sedia menimba pengalaman. Ekonomi kita tidak mampu mencipta pekerjaan yang berkualiti-tangani masalah ini.

Inflasi terkawal, hidup lebih selesa? Inflasi keseluruhan negara pada Julai lepas adalah 4.4%. Hakikatnya kita tidaklah berhadapan dengan kadar inflasi yang tinggi seperti di Amerika Syarikat (8.3%) dan UK (9.9%).

Yang tinggi adalah kos sara hidup, khususnya sangat terasa bagi kumpulan pendapatan rendah terutama yang tinggal di bandar. B40 membelanjakan sekitar 37% pendapatan untuk makanan dan inflasi makanan hampir dua kali ganda iaitu 6.9%. Dengan pendapatan yang rendah dan rentan, kualiti hidup mereka terjejas.

Dalam semangat Keluarga Malaysia, kesejahteraan ‘ahli keluarga’ menjadi matlamat utama. Petunjuk ekonomi makro tidak cukup buat rakyat. Mereka inigin ‘merasa’ pemulihan ekonomi. Moga dirancang untuk Bajet 2023 langkah yang bukan saja membantu, tetapi juga ke arah menyelesaikan masalah.

MINDA UKM: Kemajuan ekonomi mesti dirasai. Tangani ehwal poket rakyat.

BERSAMBUNG

PENULIS adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif (MINDA-UKM). Beliau kini merupakan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Harvard University, Amerika Syarikat

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This