KALAU anda pernah menonton filem Apocalypto yang diterbitkan pada 2006, masihkah anda ingat satu babak di mana isteri Jaguar Paw menggunakan penyepit semut untuk menjahit luka anaknya semasa bersembunyi di dalam sebuah lubang.
Tahukah anda, rawatan merawat luka dengan semut itu memang benar-benar wujud dan diilhamkan daripada perubatan sebenar zaman dahulu.
Sebelum jarum dan benang diguna pakai dalam perubatan moden, orang-orang terdahulu menggunakan penyepit semut untuk menutup luka-luka mereka. Kaedah ini dikatakan antara jahitan luka terawal pernah digunakan oleh masyarakat primitif terdahulu.
Pakar biologi Amerika, Eugene Willis Gudger memberitahu bahawa teknik semula jadi ini sudah lama dipraktikkan, iaitu kira-kira lebih 3,000 tahun lalu oleh masyarakat India. Tidak lama selepas itu, amalan serupa tersebar ke beberapa bahagian Asia dan Eropah sehinggalah ke Afrika dan Amerika Selatan.
Amalan rawatan itu pernah diulas dalam sebuah jurnal berjudul Biomaterials Science. Dalam teks tersebut, pengarah University of Washington Engineered Biomaterial (UWEB), Buddy Ratner memberitahu semut jenis Dolyrus antara haiwan yang dimanfaatkan dalam perubatan primitif untuk merawat, menjahit luka atau mencantumkan kulit yang terkoyak.
Ujar Ratner, jika anda memegang kedua-dua belah luka dan meletakkan penyepit semut di tempat luka, semut tersebut akan menggigit bahagian kulit dengan sangat kuat.
Setelah ia menggigit di sekitar luka, tarik badannya dan biarkan hanya bahagian kepala tersangkut di sekitar luka. Ia menyengat, tetapi teknik ini berkesan untuk menutup bahagian luka dengan sangat baik.


Keupayaan semut Dolyrus pernah dikaji oleh Daniel Kronauer, seorang ahli biologi dan ketua Laboratory of Sicial Evolution and Behavior di Rockefeller University.
Akui Kronauer, terdapat suku kaum di Afrika Timur menggunakan semut Dolyrus sebagai bahan untuk menutup luka. Orang asli di Amerika Selatan juga dilaporkan menggunakan semut Eciton untuk tujuan yang sama.
Walaupun tidak pernah melihat sendiri amalan itu, namun Kronauer percaya ia adalah benar. Ini kerana, beliau tidak merasakan ada kelemahan atau risiko berhubung rawatan tersebut.
Cuma satu perkara yang dibimbangkan ialah tentang piawaian kebersihan. Selebihnya, beliau yakin semut-semut berkenaan berupaya mencantumkan kulit yang terkoyak.
Ini kerana Dolyrus dan Eciton bukanlah semut biasa. Spesies ini merupakan semut tentera. Dengan nama lain, ia juga dikenali sebagai semut pemandu, semut safari atau siafu.
Genus ini memiliki koloni terbesar dan boleh didapati terutama di bahagian tengah dan timur Afrika. Manakala sebahagian kecil keberadaannya turut dikesan meliputi selatan Afrika dan Asia.

Seperti mana koloni semut yang lain, spesies semut ini juga memiliki kelas tentera dalam kalangan pekerja. Tentera semut lazimnya berukuran gergasi – berkepala besar dan rahang yang sangat kuat. Difahamkan, inilah senjata Dolyrus. Ditambah pula saiz rahang yang besar, semut ini berupaya menghasilkan sengatan atau gigitan dengan kekuatan luar biasa.
Keupayaan itu telah pun terbukti menerusi beberapa uji kaji yang pernah dijalankan sebelum ini. Ahli ilmuwan mendapati, gigitan Dolyrus sukar untuk dilepaskan. Sekalipun ia dibunuh dengan cara memutuskan badannya, rahang semut ini akan kekal dalam posisi menggigit. Hatta sudah mati – rahangnya tetap mencengkam kuat dan terkunci erat tanpa renggang sedikit pun.
Menurut satu catatan bertulis, rahang atau penyepit semut yang tertanam pada kulit terluka biasanya akan dikekalkan dalam posisi asalnya. Ia hanya akan dicabut dan dikeluarkan selepas tiga hari atau lebih sehingga luka menunjukkan tanda-tanda proses penyembuhan.
Menyedari perkara itu, orang Masai di Afrika Timur sampai ke hari ini dikatakan masih memanfaatkan semut sebagai ‘benang jahit’ untuk menutup luka yang terbuka. Rawatan ini memberi banyak manfaat kepada mereka terutama ketika dalam keadaan darurat.


Perkara paling asas yang dilakukan dalam menjalani rawatan ini, mula-mula mereka akan mengumpulkan semut Dolyrus terlebih dahulu. Setelah dikumpulkan, semut-semut itu akan di provokasi untuk menggigit kedua-dua bahagian kulit yang terkoyak. Sebaik sahaja semut menggigit, mereka akan cuba memutuskan badan serangga itu – meninggalkan kepala dan rahang melekat pada luka.
Walaupun rawatan ini tidak disyorkan kerana potensi menyebabkan jangkitan, namun daripada segi praktikal ia sebenarnya telah menyelamatkan banyak nyawa orang-orang terdahulu. Sekurang-kurangnya, cara ini mengelakkan pendarahan berlebihan akibat luka parah terutama ketika tercedera di dalam hutan.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com

