[VIDEO] Kisah membesar dalam keadaan sukar, ‘darah muda’ Yonnyboii hasilkan Kecewa

Dari Penulis

SELEPAS mencipta kejayaan manis dalam kategori Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version) di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 pada awal bulan ini, penyanyi hip hop, Yonnyboii tampil dengan single baharu berjudul Kecewa.

Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, Kecewa sudah menjalani proses rakaman sejak dua tahun lalu namun baru kini dia mengambil keputusan untuk melancarkannya.

“Lagu Kecewa ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh saya. Lagu ini siap dirakam dalam satu malam saja ketika saya dapat inspirasi mengenai kisah masa lalu serta ada mengaitkan emosi orang lain yang mungkin pernah mengalami situasi kecewa.

“Jujurnya saya hanya mengambil waktu beberapa jam saja untuk menyiapkan demo lagu ini. Selepas setahun disimpan rapi, saya baru menghantar demo lagu ini kepada syarikat rakaman, Def Jam Recordings Malaysia dan Universal Music Malaysia untuk menjalani proses rakaman yang lebih baik serta penggambaran video muzik (MV).

“Alhamdulillah penantian untuk melancarkan lagu ini akhirnya tercapai dan saya sangat teruja untuk menantikan maklum balas peminat mengenai karya terbaharu ini. Saya percaya setiap daripada kita pernah mengalami fasa kecewa dalam hidup,” katanya.

Bagi Yonnyboii, Kecewa membawa pengertian yang cukup mendalam dalam hidup seseorang selain mencabar diri membawakan lagu yang tidak pernah diterokai sebelum ini.

“Ketika rakamkan lagu ini saya dapat rasakan kesedihannya. Kecewa adalah satu cerita yang saya nak sampaikan kepada semua dan saya harap pendengar dapat memahami setiap bait-bait lirik lagu ini.

“Saya cipta lagu ini khas buat semua pendengar. Tunjang utama lagu ini adalah hasil perspektif saya serta individu yang pernah meluahkan perasaan mereka kepada saya.

“Sebagai seorang remaja yang membesar dalam keadaan sukar dan mempunyai ‘darah muda’ pasti mudah beremosi kerana belum benar-benar memahami erti perasaan sehinggalah ketika meningkat dewasa. Jadi melalui pengalaman itu terciptalah Kecewa,” katanya.

Biarpun Kecwa memberi maksud yang seakan-akan negatif, namun Yonnyboii berharap pendengar dan peminat dapat membuka minda dan jangan menghakiminya terlalu awal.

“Saya berharap lagu ini dapat membuka minda para pendengar tentang topik yang dianggap sensitif.

“Saya hanya menyuarakan pendapat saya dan juga perasaan remaja remaja di luar sana, kita semua ada sesuatu untuk diceritakan dan ini adalah satu cerita yang saya cipta untuk semua orang dengar. Saya juga harap lagu ini akan distrim dan didengari ramai,” katanya.

Menyentuh mengenai MV Kecewa, jejaka berusia 24 tahun itu berkata, dia berasa bertuah apabila dapat kembali bekerjasama dengan individu yang pernah menghasilkan MV nyanyiannya sebelum ini.

“Proses rakaman MV ini sangat seronok sebab saya dah selalu bekerja dengan pengarah MV ini iaitu Thaqif Saadon. Kebanyakkan MV saya seperti Salahku dan Aku Itu Aku adalah hasil kerja Thaqif.

“Untuk MV Kecewa kami berbincang bersama-sama dari sudut idea dan bertukar pendapat. Proses penggambaran juga berjalan dengan mudah dan cepat. Malah kebanyakan babak hanya dilakukan sekali saja.

“Selain itu, menerusi MV ini juga saya dapat berkenalan dengan pelakon yang terbabit seperti “Yonny kecil” dan juga yang melakonkan watak ibu bapa saya dalam MV itu. Sebelum penggambaran dimulakan kami saling berkenalan supaya dapat memudahkan perjalanan penggambaran dan memahami jalan cerita MV ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada barisan pelakon kerana mereka banyak memberi tunjuk ajar mengenai cara menjiwai watak lebih mendalam, maklumlah saya tak berapa pandai berlakon,” ulasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya tak kejar populariti, cukuplah lagu saya menggamit memori…,” – Jamal Abdillah bicara soal gelaran Biduan Negara

MENGHAMPIRI lima dekad mendaki puncak populariti dalam industri muzik tanah air, nama Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah, tidak...

More Articles Like This