Usul menamakan Ismail Sabri calon PM ke-10 disokong mesyuarat UMNO bahagian

Dari Penulis

USUL menyokong keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menamakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mendominasi sebahagian besar mesyuarat UMNO bahagian hari ini.

Bahagian yang bersidang hari ini kesemuanya bersetuju sebulat suara terhadap usul berkenaan.

Di KELANTAN, Ketua UMNO Bahagian Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata ia adalah antara enam usul yang dipersetujui sebulat suara UMNO bahagian berkenaan.

“Selain itu, usul lain adalah bagi menyokong usaha mewujudkan keharmonian hubungan, solidariti serta kesatuan idea perjuangan antara Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi PRU15,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan mesyuarat berkenaan yang dihadiri kira-kira 300 orang perwakilan, hari ini.

Beliau berkata antara usul lain yang turut dipersetujui adalah mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas dakwaan dan salah laku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berdasarkan isi kandungan buku tulisannya ‘Justice In The Wilderness’ dan menilai semula kaedah pelantikan hakim yang tidak mengikut lunas undang-undang.

BERITA BERKAITAN Ismail Sabri calon PM tunjukkan UMNO stabil – Tok Mat

Di JOHOR, ketetapan sama turut diambil oleh empat UMNO Bahagian merangkumi Tenggara, Pontian, Parit Sulong dan Tebrau pada persidangan bahagian masing-masing.

Ketua UMNO Bahagian Tenggara yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi catatan di Facebook berkata selain usul berkenaan, bahagian itu juga mahu kepimpinan pentadbiran negara yang diterajui UMNO menambah baik rantaian sosio ekonomi dengan lebih rancak dan seimbang serta menjuarai keperluan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Pontian Datuk Hasni Mohammad pula berkata usul lain yang dipersetujui ialah pemilihan calon untuk PRU15 yang perlu mengambil kira calon daripada Parlimen yang sama selain mengusulkan supaya solidariti parti diperkukuhkan sebagai satu pasukan.

Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan pula berkata bahagian berkenaan menyokong segala usaha untuk menyatukan kepimpinan UMNO demi kelangsungan dan kemenangan BN pada PRU15.

Selain itu mereka turut menyokong saranan agar tema utama manifesto PRU15 iaitu “Kestabilan dan Kemakmuran” seperti mana yang pernah digunakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, diteruskan.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Johor Mohd Hairi Mad Shah pula berkata sayap itu akan memperhebatkan penggunaan platfrom media sosial pada PRU15 dalam usaha mendekati pengundi khususnya golongan muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri Larkin itu berkata platform itu akan digunakan bagi menangkis segala fitnah dan tohmahan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Persidangan Bahagian UMNO bermula semalam hingga esok melibatkan 191 bahagian.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kanak-kanak maut selepas terjatuh ketika mandi di kediamannya

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ketika mandi di bilik air kediamannya di Taman...

More Articles Like This