Gunung Everest dikenali sebagai gunung tertinggi di dunia, gunung Kilimanjaro pula gunung tertinggi di Afrika dan Mont Blanc sebagai gunung tertinggi di Eropah. Namun, tahukah anda di mana pula letaknya gunung terkecil di dunia?
Sumber World Atlas melaporkan gelaran itu disandang oleh Gunung Wycheproof yang terletak di pekan kecil Wycheproof di Victoria, Australia.
Gunung terkecil dunia ini direkodkan memiliki ketinggian 486 kaki dari paras laut dan 141 kaki di atas medan sekitar. Permukaan gunung ini tidak mempunyai salji seperti Gunung Everest. Malah, tiada yuran dikenakan ke atas pengunjung yang mahu melakukan pendakian di sini.
Gunung Wycheproof turut mempunyai beberapa trek bagi memudahkan laluan kepada pendaki untuk menjelajahi kawasan ini. Lebih unik, beberapa hidupan liar seperti emu dan kanggaru boleh dilihat di sekitarnya.

Gunung Wycheproof memperoleh namanya sempena bandar di mana ia terbina. Nama Wycheproof berasal dari bahasa orang asli ‘Wichi-poorp’ yang bermaksud ‘rumput di atas bukit’. Bukit atau kawasan yang digelar sebagai Gunung Wycheproof merupakan penempatan penting dalam komuniti setempat pada masa itu.
Sementara itu, bahagian permukaan gunung ini terbentuk daripada granit dan terletak di kawasan padang rumput yang rata. Uniknya, ia turut memiliki mineral sendiri dikenali sebagai Wycheproofite. Bahan geologi unik berwarna merah jambu itu menjadi unsur eksklusif bagi penempatan di situ.
Selain itu, terdapat sebuah bandar berpenghuni terletak di lereng barat daya Gunung Wycheproof. Penempatan itu dikatakan bermula seawal tahun 1846. Bagaimanapun, ia tidak ditinjau sehingga tahun 1875. Dianggarkan seramai 789 orang penduduk mendiami kawasan berkenaan. Mereka mengusahakan tanaman gandum dan ternakan biri-biri sebagai sumber ekonomi.
Istimewanya, kawasan penempatan ini turut dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti sekolah, pengangkutan kereta api dan motel. Bukan itu saja, balai polis dan pejabat pos turut dibina bagi memudahkan penduduk di kawasan sekitar.
Gunung Wycheproof masih memiliki keunikan tersendiri. Betapa tidak, setiap tahun ia menjadi lokasi penting sebagai tapak sambutan festival bijian tahunan oleh masyarakat tempatan.
Difahamkan, kerajaan Victoria turut memberi peruntukan melalui Pembangunan Wilayah Victoria supaya lokasi sekitar gunung terkecil ini menarik lebih ramai kedatangan pengunjung.


______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

