Culik warga Palestin: Polis siasat jika ada penglibatan agensi perisikan luar

Dari Penulis

Polis sedang menyiasat sekiranya wujud penglibatan agensi perisikan luar berhubung kes penculikan warga Palestin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan penglibatan agensi luar dalam kes penculikan itu seperti yang didakwa sebuah akhbar tempatan semalam.

“Saya tidak boleh beritahu sama ada Mossad terlibat atau tidak kerana siasatan masih berterusan dan polis juga tidak pasti dari mana akhbar berkenaan memperoleh sumber sedemikian.

“Laporan akhbar berkenaan telah menimbulkan spekulasi dan mengganggu siasatan polis berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Rapid KL Safety Point di Stesen MRT Kampung Batu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkan agensi perisikan Israel, Mossad merupakan dalang yang mengupah warga tempatan untuk menculik seorang warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy Raeda.

Azmi berkata polis akan memanggil wakil dari akhbar berkenaan untuk diambil keterangan pada hari ini bagi membantu siasatan.

“Saya berharap rakan media memberi kerjasama dalam menyampaikan maklumat. Jika sesuatu perkara itu boleh diberitahu, saya pasti akan maklumkan pada semua,” katanya.

Semalam, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri sedang membuat penelitian berhubung dakwaan penglibatan ejen perisikan Israel, Mossad dalam insiden penculikan seorang warga Palestin.

Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

Pada Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

64 pendatang asing warga Filipina, Indonesia ditahan

SERAMAI 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dan Indonesia ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Lahad Datu yang...

More Articles Like This