SEORANG lelaki ditahan polis selepas bertindak kejam mencampak tiga ekor kucing milik jirannya daripada tingkat 15 sebuah apartmen di Petaling Jaya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan kejadian pada pukul 9.37 malam.
Beliau berkata, bertindak atas laporan, suspek warga tempatan berusia 44 tahun yang menyewa di apartmen tersebut.
“Polis menemui tiga ekor kucing yang sudah tidak bernyawa bersama suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan mendapati suspek mengaku membuang kucing tersebut dari kediaman beliau.
Katanya, suspek akan ditahan reman dan kes disiasat dibawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan.

