
SCALEUP Accelerator Sdn Bhd (ScaleUp Malaysia) dan Proficeo Consultants Sdn Bhd (Profiiceo) bergabung tenaga untuk melancarkan 100 Soonicorns, sebuah program yang direka untuk membentuk Unicorn Malaysia masa depan.
Dengan kerjasama Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) dan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC), 100 Soonicorns disasarkan menjadi pendorong untuk memacu pembangunan Malaysia ke arah mencapai aspirasinya dalam usaha mencipta lima syarikat ‘Unicorn’ menjelang 2025.
Program tersebut merupakan pemangkin yang dipacu daripada ekosistem yang akan menonjolkan syarikat pemula tempatan yang sedang mengemudikan perjalanan pengembangan perniagaan mereka yang penuh cabaran untuk menjadi syarikat berstatus Unicorn.
Dicipta daripada frasa “bakal menjadi Unicorn”, Soonicorns ialah syarikat pemula dengan potensi pertumbuhan tinggi untuk menjadi syarikat Unicorn. Soonicorns kebiasaannya adalah syarikat pemula berasaskan teknologi yang mempunyai prospek pengembangan tinggi dan telah menerima pembiayaan daripada ‘pelabur individu’ (angel investor) atau pemodal teroka.
Manakala dari segi definasi perniagaan, Unicorn adalah terma merujuk syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion yang dipopularkan oleh firma pelaburan terkenal di California, Amerika Syarikat yang memberi dana kepada syarikat pemula.
Untuk mengambil bahagian dalam program Soonicorns, syarikat pemula yang dijemput perlu mengumpul sekurang-kurangnya AS$1 juta daripada firma Modal Teroka atau pelabur institusi; atau telah menjana pendapatan sebanyak AS$2 juta sepanjang 12 bulan yang lalu.
Rakan Pengurusan ScaleUp Malaysia, Andre Sequerah berkata: “Dengan lebih 2,500 syarikat pemula yang aktif dan landskap keusahawanan Malaysia yang bertenaga akan mempunyai potensi besar untuk membina perniagaan yang berdaya tahan, mampan serta sedia untuk menjadi Unicorn negara masa depan.
“Program bersama ini akan membolehkan kami mengambil Soonicorns yang baru melalui radar kami dan kemudiannya membentuk mereka menjadi syarikat Unicorn melalui program berstruktur, pragmatik dan bersasar.
“Semakin tinggi anda mendaki, semakin banyak halangan yang anda hadapi dan semakin sunyi perjalanan dilalui. Margin antara kejayaan dan kegagalan adalah tipis dan tanpa bimbingan serta sokongan rakan sebaya, syarikat pemula kebiasaannya boleh menjadi tidak stabil atau kemerosotan pernigaan dari semasa ke semasa.
BERITA BERKAITAN ScaleUp Malaysia buka permohonan Kohort 2022, janji dana AS$100,000 setiap syarikat
“Program 100 Soonicorns akan membantu memperkukuh syarikat pemula ini, memberikan mereka sokongan yang diperlukan dari segi sumber serta rakan sealiran untuk menjadi pendorong mereka semasa mencapai puncak,” tambah Andre.
Ketua Evangelist Proficeo, Dr. Sivapalan Vivekarajah berkata: “100 Soonicorns akan menjadi pemangkin pertumbuhan bagi ekosistem syarikat pemula kami dan juga menjadi batu loncatan kejayaan bagi syarikat berpotensi tinggi ini, seterusnya mendedahkan peluang ekonomi baharu untuk negara. Program ini juga akan menonjolkan syarikat pemula ini sebagai syarikat yang paling berpotensi di Malaysia, dan seterusnya meletakkan mereka dalam perhatian pelabur global.
“Dengan pertaruhan yang tinggi untuk syarikat ini, panduan yang disesuaikan akan ditawarkan kepada 100 Soonicorn untuk membuka setiap peluang kejayaan kepada syarikat-syarikat pemula tempatan tersebut.”
Program 100 Soonicorns akan dilaksanakan dalam tiga (3) fasa. Fasa pertama akan menyaksikan pasukan mengenal pasti seratus (100) syarikat pemula terbaik di Malaysia dengan potensi besar untuk menjadi syarikat Unicorn.
Syarikat pemula itu kemudiannya akan dipupuk melalui sukatan pelajaran ‘pengasas-menyokong-pengasas’ yang merangkumi penyelesaian masalah berstruktur, sesi pembangunan kapasiti, rangkaian dan sokongan rakan-ke-rakan seangkatan, di dalam fasa kedua.
Akhir sekali, dua puluh (20) daripada 100 syarikat pemula akan dipilih untuk menerima pembelajaran, bimbingan, bantuan kawal selia dan pembiayaan yang disesuaikan daripada pelabur, agensi kerajaan dan peserta ekosistem lain.
“Kami sentiasa percaya bahawa membangunkan ekosistem memerlukan lebih daripada modal kewangan. 100 Soonicorns ialah satu inisiatif yang menyediakan rangsangan yang tepat untuk membantu usahawan akan datang untuk memaksimumkan potensi mereka melalui program yang sangat eksklusif direka untuk memenuhi keperluan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Penjana Kapital, Taufiq Iskandar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata: “MDEC komited terhadap matlamat negara untuk mewujudkan lima syarikat Unicorn menjelang 2025 dan pelancaran inisiatif strategik nasional Malaysia Digital (MD) baru-baru ini akan memangkinkan usaha ini.
MD berusaha untuk meningkatkan nilai ekosistem keseluruhan, menyediakan bantuan dan sumber yang disasarkan yang diperlukan oleh Soonicorns, dalam usaha terakhir mereka ke arah status Unicorn. Kerjasama berkesan swasta-awam seperti ini akan menjadi kunci kejayaannya.”
Dua kohort daripada program 100 Soonicorns akan bermula pada suku pertama 2023 dengan disertai 16 ketua pegawai eksekutif syarikat pemula dalam setiap kohort. Menjelang akhir tahun 2023, 100 Soonicoorns akan menjalankan enam kohort dan menyokong 100 ketua pegawai eksekutif.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram