Xelia Tong dan Andre Sequerah

SELEPAS kejayaan program Kohort ketiganya yang tamat pada Mac lepas, ScaleUp Malaysia mengumumkan pelancaran program kohort terbaharu dikenali sebagai Kohort 2022 yang akan bermula secara rasmi pada suku keempat tahun ini.

Peningkatan ketara dalam program kohort ScaleUp Malaysia kali ini adalah jumlah pelaburan untuk setiap syarikat pemula terpilih ditingkatkan kepada AS$100,000 (RM440,000), menjadikannya salah satu pelaburan terbesar daripada syarikat pemecut peniagaan di rantau Asia Tenggara. 

Rakan Pengurusan (Managing Partner) ScaleUp Malaysia, Xelia Tong berkata, peserta juga akan menerima pelaburan daripada syarikat pemecut perniagaan tersebut sebelum mereka memulakan program kohort dan bukannya pada akhir program.

“Kami berasa sangat bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan beberapa syarikat pemula terbaik di rantau ini sepanjang pelaksanaan program tiga kohort sebelum ini.

“Peningkatan dalam saiz pelaburan awal kali ini menunjukkan kepercayaan kami bahawa Malaysia dan Asia Tenggara mempunyai beberapa pengasas syarikat pemula yang benar-benar luar biasa. Kami berharap dapat sama-sama menyokong pembangunan perniagaan mereka,” katanya.

Pemohon yang memohon menyertai program Kohort 2022 juga akan mengetahui dengan cepat sama ada permohonanan mereka berjaya atau sebaliknya. ScaleUp Malaysia merancang untuk memaklumkan kepada peserta mengenai minat atau potensi pelaburan mereka selepas lima minggu permohonan dilakukan.

BERITA BERKAITAN ScaleUp Malaysia umum pelaburan RM4.2 juta dalam 11 syarikat pemula dari program Kohort

“Kami menyedari bahawa ini adalah masa yang sangat genting bagi pengasas syarikat pemula yang sedang menghadapi keadaan ketidakpastian ekonomi di rantau ini dan seluruh dunia. 

“Ia merupakan antara faktor kami memperkemaskan proses permohonan bagi memastikan syarikat pemula terbaik mendapat pembiayaan secepatt mungkin dan mereka boleh terus memulakankan perniagaan dan berkembang dengan efektif,” kata Rakan Pengurusan Scaleup Malaysia, Andre Sequerah. 

ScaleUp Malaysia telah mengumumkan pelaburan dalam 30 syarikat pemula yang menyertai kohort sebelum ini sejak program itu diperkenalkan pada 2020, termasuk dalam syarikat seperti Iimmpact, Fefifo, AOne, Homa dan Guruinnovatif. 

Sebuah syarikat telah keluar daripada berada di bawah penyeliaan program tersebut dengan mendapat pelaburan susulan sehingga 15 kali dan syarikat-syarikat teratas yang lain juga berjaya mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 300% sejak menyertai program tersebut.

“Kami menerima penyertaan syarikat pemula daripada pelbagai jenis industri atau bidang vertikal, asalkan mereka dapat membuktikan mempunyai produk yang mampu memenuhi keperluan pasaran, mempunyai pasaran besar dengan rancangan pemasaran yang menarik,” tambah Sequerah. 

ScaleUp Malaysia bukan sahaja menerima penyertaan daripada syarikat pemula dari Malaysia tetapi juga seluruh dunia dengan merekodkan syarikat daripada 26 negara telah berjaya menyertai program kohort sebelum ini.

Syarikat pemecut perniagaan itu juga menyatakan mereka mendapat penyertaan tinggi dalam kalangan usahawan wanita dalam program sebelum ini, berbanding nisbah yang terdapat dalam industri dan berusaha menyokong lebih ramai golongan usahawan tersebut.

“Kami sangat teruja lebih daripada 40 peratus syarikat pemula yang kami bantu merupakan syarikat yang diasaskan oleh usahawan wanita. Mereka bijak, bermotivasi dan berazam tinggi untuk mencapai kejayaan. Kami sangat teruja untuk membantu lebih ramai wanita membuat perubahan,” kata Tong. 

Pendaftaran untuk Kohort 2022 kini dibuka secara rasmi sehingga 31 Ogos 2022. Untuk maklumat lanjut mengenai ScaleUp Malaysia dan mereka yang berminat untuk membuat permohonan, boleh melayari https://www.scaleup.my/cohort-2022.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram