Penemuan implan gigi kuno berusia ribuan tahun, bukti orang zaman dulu sudah mahir dalam pergigian

Dari Penulis

ZAMAN moden hari ini, hilang gigi bukan satu masalah jika mahu menggantikannya dengan gigi baru. Sudah ada kaedah implan untuk tujuan tersebut.

Tetapi, tahukah anda kerja-kerja estetika dalam bidang pergigian ini bukanlah perkara baru. Malah, penemuan arkeologi menunjukkan masyarakat zaman dahulu sudah ada kaedah implan gigi ini.

Satu kajian yang pernah diterbitkan dalam jurnal Antiquity mendedahkan, implan gigi kuno pernah dijumpai di kawasan pengebumian Iron Age di Le Chene, utara Perancis. Implan tersebut dikirakan antara yang tertua pernah dijumpai di Eropah barat.

Guillaume Seguin dari Archeosphere, sebuah firma arkeologi yang berpusat di Bordeaux merupakan penemu kepada bahan artifak itu semasa kerja-kerja mencari gali di kawasan pemakaman berkenaan pada tahun 2009.

Dia menjumpai implan gigi tersebut secara tidak sengaja di dalam mulut seorang rangka wanita yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun saat meninggal dunia kira-kira 2,300 tahun yang lalu.

Implan gigi logam dijumpai dalam mulut rangka seorang wanita yang meninggal dunia kira-kira 2,300 tahun yang lalu.

Ahli arkeologi mendapati wanita itu dikebumikan berhampiran dengan kuburan tiga kerangka wanita lain di dalam bilik pemakaman yang dihias mewah. Pada saat ditemukan, tubuhnya sudah tidak terpelihara dengan baik. Walaupun begitu, giginya didapati masih terletak dalam kedudukan anatomi dengan gigi kacip, geraham, pra-geraham dan taring.

Guillaume kemudian ternampak sepotong logam di dalam mulut rangka wanita muda itu. Awalnya, beliau tertanya-tanya apakah benda tersebut. Selepas diambil dan diteliti, barulah disedari besi berkenaan merupakan sebahagian daripada implan gigi.

Implan itu ditemui pada gigi kacip atas bersama seluruh giginya. Ia berupa pin besi di mana saiz dan bentuknya sama seperti gigi keras dari rahang atas.

Implan logam ini masih terletak ‘dalam kedudukan anatomi’ dengan gigi kacip, geraham, pra-geraham dan taring

Para ilmuwan yakin, tujuan penambahan implan gigi itu adalah kerana alasan nilai estetika. Kononnya, dengan pemasangan kepingan logam itu akan menjadikan wanita berkenaan kelihatan lebih sempurna dan cantik di dalam kuburnya.

Ini bermakna, implan tersebut hanya ditanam selepas kematian wanita itu – dengan cara memahatnya ke rahang. Kaedah ini tidak dilakukan semasa hidup kerana ia terlalu menyakitkan dan boleh menyebabkan maut akibat jangkitan kuman.

Selain implan, kubur wanita itu turut dilengkapi dengan pelbagai perhiasan berharga seperti gangsa, tali pinggang, rantai karang dan bar mata wang besi. Ciri-ciri ini dikatakan memiliki persamaan yang sangat konsisten dengan budaya Celtic La Tene yang pernah berkembang pesat merentasi Eropah Tengah dan Barat, iaitu kira-kira 450 Sebelum Masihi.

Berdasarkan sejarah, kebudayaan Celtic La Tene sangat terkenal dengan kerja-kerja logam seperti pembuatan barang perhiasan, perkakas dan senjata yang sangat maju.

Oleh itu, saintis percaya implan gigi besi yang dijumpai dalam mulut kerangka wanita itu adalah berasal dari bidang kepakaran pekerja logam La Tene. Mereka ini diyakini telah menyumbat masuk kepingan keras itu ke dalam saluran pulpa dan saluran darah bagi memastikan ia kekal di tempatnya.

Para ilmuwan menyatakan bahawa implan itu adalah post-mortem yang mana dilakukan selepas kematian wanita berkenaan. Dalam jurnal Antiquitly, Guillaume menyatakan bahawa cara pengebumian seumpama itu adalah sebagai menunjukkan imej seorang elit sosial yang peduli tentang penampilan mereka.

Penemuan itu membuktikan, sejak zaman Zaman Besi bermula abad ke-12 Sebelum Masihi, manusia sudah obses dengan kecantikan dan penampilan diri. Bahkan, ramai saintis percaya bahawa kerja-kerja seni purba itu sebenarnya telah diamalkan awal sebelum itu lagi, iaitu sekitar 9,000 tahun yang lalu.

Buktinya, Tamadun Lembah Indus pernah dicatat menghasilkan bentuk pergigian terawal berupa tanduk sekitar 7,000 Sebelum Masihi. Para ilmuwan turut menemukan kerja-kerja pergigian berupa jambatan gigi dalam mulut mumia berusia 4,000 tahun. Alat itu terbuat dari wayar emas atau perak dan diikat pada sekeliling gigi.

Di tapak arkeologi Hondarus, sebuah negara republik di Amerika Tengah, juga dijumpai bahan artifak berharga berupa rahang bawah kepunyaan seorang wanita Maya. Pada bahagian itu terdapat gantian terbuat daripada kepingan yang dibentuk menyerupai gigi. Kini, serpihan tersebut dipamerkan di Muzium Arkeologi dan Etnologi, Universiti Harvard.

Daripada beberapa penemuan itu terungkap sedikit sebanyak kemajuan kerja-kerja pergigian yang wujud pada zaman dahulu. Ternyata, orang-orang kuno sudah lama memiliki kepintaran dan pengetahuan mengenai bagaimana untuk merawat kecederaan pada gigi.

Paling mengagumkan, kemahiran mereka tidak tertumpu pada kerja-kerja implan gigi, tetapi lebih daripada itu. Beberapa tahun lalu, gigi manusia berusia 6,500 tahun dijumpai dalam keadaan di mana lubang gigi disumbat dengan lilin.

Penemuan itu menunjukkan bahawa masyarakat terdahulu bukan sahaja mahir melakukan implan, tetapi juga memiliki ilmu dalam merawat penyakit gigi seperti menampal gigi berlubang.

Keadaan implan gigi tertua saat ia ditemukan.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This