CUBA perhatikan, di antara hidung dan bibir kita, terdapat satu lekukan. Pernahkah anda terfikir, apakah fungsi lekukan itu?

Sebenarnya, alur kecil yang dikenali sebagai philtrum ini sejak dahulu membingungkan para saintis. Hanya kebelakangan ini, ilmuwan mula mendapat jawapan mengapa manusia memiliki alur lekukan itu di atas bibir.

Saintis mengatakan bahawa setiap organ pada tubuh makhluk hidup termasuk manusia pasti memiliki fungsi tersendiri. Begitu juga dengan bahagian ini. Philtrum atau lekukan vertikal di bahagian antara hidung dan bibir ini secara alami dimiliki oleh kebanyakan mamalia dan diyakini sebagai bahagian primitif bagi mamalia secara umum.

Sebelum ini, ramai menganggap lekukan ini tidak memiliki sebarang fungsi dan kehadirannya hanyalah sekadar pelengkap. Tak kurang juga yang melecehkannya sebagai tempat laluan untuk bendalir seperti peluh dan hingus yang keluar dari hidung. Namun, segala andaian itu ternyata salah.

Fakta yang ditemukan oleh para saintis menunjukkan philtrum sebenarnya mempunyai fungsi yang penting terutama dalam pembentukan wajah sejak dalam rahim. Sebab itu, mengapa rata-rata kita semua memiliki alur di atas bibir.

Dr. Michael Mosley pernah mendedahkan keanehan tentang anatomi manusia itu dalam sebuah dokumentari Inside The Human Body di BBC. Menurutnya, keberadaan alur unik di atas bibir manusia sebenarnya telah mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan ahli biologi sejak sekian lama.

Hasil penelitian sebelum ini membuktikan bahawa philtrum merupakan tempat di mana pelbagai bahagian wajah bergabung saat mulai pembentukan embrio lagi. Awal peringkat kehamilan, wajah manusia masih belum terbentuk dengan sempurna.

Menurut Dr. Mosley, wajah manusia pada fasa tersebut digambarkan sebagai pelik, daging berlipat dan tidak mempunyai ciri-ciri khas. Philtrum hanya terbentuk saat nasomedial dan maxillary bertemu semasa peringkat perkembangan embrio. Embrio tumbuh secara perlahan-lahan mulai dari minggu ke-21 hingga minggu ke-28 di dalam kandungan.

Data imbasan saat perkembangan embrio yang diambil oleh Dr. Mosley dan pasukannya, menunjukkan wajah janin pada fasa itu langsung tidak menunjukkan ciri-ciri khusus. Namun, hari bertukar minggu, ia secara beransur-ansur berubah dengan bahagian utama bercantum di bawah hidung lalu mencipta philtrum.

Bermula dari situ, semua jaringan kemudian bersama-sama bergabung membentuk hidung, mata dan mulut seterusnya menghasilkan wajah yang sempurna. Proses luar biasa ini terjadi antara tempoh dua hingga tiga bulan usia janin di dalam rahim.

Akan tetapi, sekiranya proses pembentukan itu gagal, maka akan terbentuk satu kelainan yang dinamakan sebagai bibir sumbing. Sebaliknya, jika philtrum berupa halus dan rata, boleh jadi bayi itu mengalami sindrom alkohol janin atau sindrom prader-willi. Manakala, individu dengan autisme pula diketahui mempunyai philtrum yang lebih luas, iaitu salah satu ciri kelainan fizik berhubung dengan autisme.

Lekukan ini sudah terbentuk sejak bayi dalam kandungan.

Apakah peranan philtrum pada manusia? Terang Dr. Mosley, selain sebagai tempat pembentukan wajah, alur memanjang dari bawah hidung hingga hujung bibir atas itu turut mempunyai fungsi penting lain.

Antara yang dikenal pasti, melalui lekukan itu – wap air dapat dibawa ke dalam hidung. Wap-wap air yang memasuki hidung berfungsi menjaga deria bau untuk kekal lembap. Secara prinsip, apabila hidung dalam keadaan basah atau lembap, kemampuan menghidu akan meningkat dan menjadi lebih baik berbanding dengan hidung kering.

Selain manusia, kebanyakan haiwan seperti anjing juga mempunyai philtrum. Dalam kes anjing, philtrum memainkan peranan yang penting kerana haiwan itu sangat bergantung pada indera bau lebih daripada manusia.

Philtrum umumnya tidak begitu kelihatan. Walaupun begitu, bagi sesetengah orang ada yang merasakan lekukan itu benar-benar mengganggu sehingga sanggup untuk menjalani pembedahan kosmetik bagi mengurangkannya. Bagaimanapun, kaedah tersebut berisiko tinggi untuk terjadinya asimetri atau ketidakseimbangan bibir. Dalam kebanyakan kes, ia turut meninggalkan parut kekal.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram