HANYA menjalani 14 hari penggambaran bagi filem Siku 12: Langkah Derhaka, aktor terkenal Zahiril Adzim akui berdepan cabaran untuk menyudahkan naskhah terbabit.
Pun begitu, Zahiril yang memegang watak lelaki siam bernama A-Wut tetap berpuas hati dengan hasil lakonan yang diberikan.

“Tempoh penggambaran memang agak singkat, malah pada peringkat awal projek ini adalah untuk supertelefilem.
“Saya tidak tahu ia diangkat sebagai filem dan mungkin penerbit melihat ia ada potensi apabila ditayangkan di panggung wayang.
“Apapun saya sudah berikan yang terbaik dalam tempoh masa singkat dan masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki.
“Saya sudah bersedia untuk menerima apa sahaja komen penonton nanti,” katanya kepada URTV.
Zahiril berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di Golden Screen Cinemas (GSC) Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Filem arahan Azhari Zain itu mengetengahkan elemen persilatan Melayu permainan 12 yang jarang diketahui umum dan seni mempertahankan diri, Muay Thai.
Tambah Zahiril, dia melihat naskhah terbabit amat menarik untuk ditayangkan kepada umum kerana mempunyai elemen persilatan langkah 12 yang kurang dikenali.

“Apabila melihat tajuk filem ini, saya rasa ia sangat menarik kerana sebelum ini, saya tidak tahu tentang kewujudan langkah 12. Ia merupakan perkara baru untuk saya pelajari.
“Saya harap filem ini dapat memperkenalkan seni silat berkenaan kepada ramai orang kerana keunikannya yang tersendiri,” ujarnya.

Siku 12: Langkah Derhaka bakal menemui penonton di pawagam bermula esok.
Selain Zahiril, filem terbabit turut menampilkan pelakon Syafiq Kyle sebagai teraju utama.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

