“Islam bukan milik dia seorang” – Zahiril Adzim tolak dakwah kasar, pilih dekati nasihat dengan hikmah

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PELAKON filem Libang Libu, Zahiril Adzim yang bakal menjadi perhatian susulan watak “lembut” yang dibawakannya, tampil tenang memberikan respons terhadap kritikan pedas pihak tertentu, termasuk teguran daripada pempengaruh sensasi yang dianggap terlalu keras oleh sesetengah pihak.

Menyifatkan hubungan antara manusia dan pencipta adalah urusan peribadi, pelakon tersebut memilih untuk tidak melatah, sebaliknya meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada ketentuan rezeki daripada Allah SWT.

Walaupun dihujani pelbagai reaksi terhadap watak yang dimainkannya, Zahiril atau nama lengkapnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar,42,  menegaskan bahawa sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sebarang teguran. 

Bagaimanapun, dia secara halus mengingatkan tiada individu yang mempunyai hak mutlak untuk menghakimi orang lain dalam beragama.

“Saya tidak perlu komen apa-apa kerana bukan dia yang memberi rezeki. 

“Kita berserah 100 peratus kepada Allah. Islam ini agama semua orang, bukan agama dia seorang sahaja. 

“Namun, jika ada nasihat yang baik dan betul, saya akan ambil tanpa memandang siapa yang memberi nasihat tersebut,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada Malam Gala Libang Libu di GSC Midvalley, malam tadi.

Tambahnya, setiap teguran yang datang walaupun daripada orang biasa di tepi jalan tetap dianggap sebagai pesanan yang dihantar oleh Tuhan untuk memperbaiki diri.

“Kita pun bukan orang baik sangat, hari-hari melakukan kesilapan. Apa-apa nasihat yang murni, saya akan ambil dan cuba untuk berubah,” jelasnya.

Mengulas mengenai pendekatan sesetengah pihak yang menggunakan cara kasar atau “harsh” dalam menegur penggiat seni, dia menyifatkan kaedah tersebut tidak selari dengan ajaran agama yang mengutamakan kelembutan dan hikmah.

Dia turut berkongsi mutiara kata daripada seorang tokoh alim mengenai bahayanya berjuang atau menegur dalam keadaan marah, kerana garis antara perjuangan kerana Allah dan mengikut telunjuk syaitan adalah sangat halus.

“Sebenarnya cara kasar ini tidak sesuai dengan ajaran agama kita. Kemarahan itu datangnya daripada syaitan.

“Kadang-kadang kita rasa kita berjuang kerana Allah, tetapi sebenarnya kita berjuang dengan syaitan kerana adanya rasa marah dalam hati,” ujarnya.

Zahiril turut mengimbas kembali kisah seorang sahabat Nabi yang membatalkan hasrat membunuh musuh selepas diludah, semata-mata kerana bimbang tindakannya itu didorong oleh kemarahan peribadi dan bukannya jihad kerana agama.

“Ada kisah seorang sahabat Nabi ni, dia nak bunuh orang kafir tapi muka dia diludah.

“Dan dia tak jadi bunuh orang kafir tu kerana dia tahu dia sedang marah. Ini maknanya, kalau dia bunuh bukan sebab agama tapi kerana kemarahan,” katanya.

Di sebalik kontroversi yang melanda, dia lebih memilih untuk memberikan tumpuan kepada kejayaan filem Libang Libu dan menghargai sokongan penonton yang hadir ke pawagam. 

Baginya, setiap orang mempunyai perspektif masing-masing dalam menilai karyanya.

“You do you, I do me. Dia pun saya tahu apa yang dia cari, dan kita pun tahu apa yang kita cari. 

“Biarlah orang mahu cakap apa pun, saya tidak kisah. Terima kasih kepada semua yang datang menyokong dan menonton filem ini,” ujarnya.

Filem Libang Libu bakal temui penonton mulai 23 April ini di seluruh pawagam dalam negara.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Reda rumah tangga runtuh lagi, Kaka Azraff pilih fokus besarkan 3 anak selepas sah bercerai talak dua

SELEPAS pelbagai usaha dilakukan demi mempertahankan mahligai cinta yang dibina, penyanyi, Kaka Azraff akhirnya akur apabila jodohnya bersama suami,...

More Articles Like This