Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mendengar permasalahan yang dihadapi penduduk ketika mengadakan walkabout di sekitar Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh. GAMBAR: Abd Razak Aid

Pengisytiharan harta kebiasaannya hanya dibuat selepas lantikan jemaah menteri, kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.

Khairy yang sebelum ini menyandang kerusi Parlimen Rembau berkata, beliau sebelum ini telah mengisytiharkan harta sewaktu menjawat jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Bagi pengisytiharan harta, kita buat semasa lantikan ke jemaah menteri dan saya pun dah isytihar harta kepada SPRM.

“Perkara itu juga telah dipaparkan di dalam website (laman sesawang) SPRM sewaktu saya dilantik menjadi menteri MOSTI,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kesedaran Gelombang Baharu COVID-19 di Kompleks PERHEBAT Sungai Buloh hari ini.

Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan salah seorang penduduk ketika mengadakan walkabout di sekitar Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca lagi: Aset Rafizi Ramli hampir cecah RM19 juta

Terdahulu, calon Parlimen Pandan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih RM18.85 juta.

Ia susulan syarat PKR supaya calonnya dalam pilihan raya umum 19 Nov ini berbuat demikian.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Kesihatan turut menasihati individu yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 agar segera berbuat demikian susulan peningkatan jangkitan kes virus itu sejak kebelakangan ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai serta bakal calon PRU15 yang akan bertanding jika mengalami sebarang gejala atau kontak rapat agar melakukan ujian kendiri dan melaporkannya di MySejahtera.

Sementara itu mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata Sungai Buloh merupakan kerusi Parlimen selamat buat penyandang kerusi Parlimen Rembau itu, Khairy cuma memberikan jawapan ringkas:

“Saya akan berusaha bersungguh untuk berjumpa pengundi Sungai Buloh sewaktu kempen nanti, Insy-Allah,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram