Mangsa mengalami kecederaan parah di kedua-dua belah tangan dan pendarahan dalam otak.

SEORANG lelaki yang dipercayai memukul warga emas dalam insiden pergaduhan melibatkan kayu golf, parang dan pengunci stereng di Lorong Cantik 3, Kampung Pandan Dalam, Ampang, Khamis lalu telah berjaya ditahan polis.

Suspek yang berusia 39 tahun turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan benzo.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, siasatan pihaknya mendapati pergaduhan antara mangsa dan suspek dipercayai akibat salah faham dalam penggunaan jalan raya.

Menurut beliau, ketika kejadian mangsa yang berusia 60 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki kereta bersama isterinya.

Mohamad Farouk memberitahu, mangsa dan suspek yang menaiki motosikal kemudiannya telah berselisih faham hingga tercetus pergaduhan.

“Semasa kejadian, mangsa dan suspek dalam keadaan bertentangan di jalan dua hala di mana kenderaan dipandu mangsa termasuk ke laluan suspek dan hampir melanggar lelaki tersebut.

“Suspek dan mangsa lalu bertengkar mulut sehingga berlakunya kejadian berkenaan.

“Akibat kejadian berkenaan, telah berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek dengan menggunakan kayu golf, parang dan sebatang besi pengunci stereng.

“Mangsa telah mengalami kecederaan patah di tangan kanan, luka di kedua-dua belah tangan dan pendarahan dalam otak.

Baca artikel berkaitan: Warga emas pandu lawan arus di LPT 2 ditahan polis

“Suspek pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dengan kedua-duanya telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk memberitahu, suspek yang berniaga sendiri di kawasan Ampang juga mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, suspek telah ditahan reman selama enam hari sehingga Khamis ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, Seksyen 326 Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

“Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 pula boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram