Penceramah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias

PENCERAMAH bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias menjelaskan tujuannya menarik diri daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut adalah demi kepentingan keluarga.

Dikenali sebagai Ustaz Kazim Elias, 50, beliau mahu mengelak timbulnya masalah susulan abangnya Datuk Mohd Najmuddin Elias bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu).

“Saya berpegang kepada prinsip tidak bertanding dalam bidang politik jika digandingkan bersama ahli keluarga selain ia juga merupakan amanat arwah ibu,” katanya pada sidang media di Kompleks Darul Barakah, Manjoi di sini hari ini.

Mohammad Kazim berkata pada mulanya beliau telah mengambil keputusan untuk menandatangani watikah sebagai calon BN Parlimen Larut, tanpa mengetahui bahawa Najmuddin turut menandatangani watikah untuk mewakili parti lain.

Baca artikel lain: Tak sampai 24 jam dicalonkan, Ustaz Kazim tarik diri bertanding PRU-15

“Selepas beberapa rundingan dan perbincangan dengan keluarga, saya ambil keputusan untuk tandatangan watikah sebagai wakil BN…tetapi abang saya pun tandatangan satu lagi watikah parti lain tanpa kami ketahui.

“Saya hormati dia dan beri laluan kepadanya,” katanya. DUN Batu Kurau terletak di bawah Parlimen Larut selain DUN Selama dan Kubu Gajah.

Pada 2 November, Mohammad Kazim menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut Mohd Shafiq Fhadly Mahmud yang akan bertemu Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang-Berjasa), Zolkharnain Abidin (PH-Amanah) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Bersatu)

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram