Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

BERITA gembira kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) apabila kerajaan mengumumkan pemberian bantuan Fasa 4 mulai 15 November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian BKM Fasa 4 itu akan dikreditkan secara berperingkat dan dijangka selesai pada 18 November ini.

Menurut beliau, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Perdana Menteri berkata, pembayaran bantuan itu merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini.

“Keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa 4 daripada Disember kepada November adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula pada pertengahan bulan ini.

“Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November ini dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BKM melalui pautan bkm.hasil.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, pembayaran bernilai RM2.1 bilion itu akan memanfaatkan seramai 5.2 juta penerima yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan warga emas bujang atau tiada pasangan.

“Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022,” jelas beliau.

Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2023: Kadar BKM meningkat

Sebelum ini, BKM Fasa Tiga telah dikreditkan ke dalam akaun penerima pada 20 September lalu secara berperingkat.

Perdana Menteri berkata, pembayaran berjumlah RM2.2 bilion itu akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima yang terdiri daripada penerima BKM sedia ada iaitu dalam kategori isi rumah, warga emas bujang/tiada pasangan dan bujang serta mereka yang telah lulus Rayuan BKM.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan juga krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global,” katanya.

Dalam kenyataan akhbar ketika itu, beliau berkata, BKM merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40 dan untuk pembayaran BKM Fasa 3, setiap penerima BKM sedia ada bakal menerima sehingga RM900.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram