Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan Ketua Pemuda PAS Sik Mohd Shahiful Mhd Nasir yang menyatakan mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan masuk ke neraka. 

Muhyiddin pada masa sama mengingatkan semua calon yang berkempen bagi PRU15 supaya mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham.

“Saya fikir mereka sudah tahu sewajarnya ada penjelasan, saya pun tidak berapa gemar buat kenyataan seperti itu dari sudut agama tetapi yang penting kita elakkanlah daripada memberi kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham.

“Nanti akan ada yang tersentuh dan tersinggung… saya mohon maaf bagi mereka, yang penting hasrat dan niat baik dalam ceramah untuk memberikan penerangan agar mereka semua tahu dan memberi sokongan kepada PN,” katanya kepada pemberita selepas Program Santai Anak Muda Johor di sini.

Ketika ditanya mengenai Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli akan membuat laporan polis berhubung kenyataan itu dalam masa terdekat bagi mengelakkan mana-mana parti menggunakan agama bagi tujuan politik, Muhyiddin berharap isu tersebut tidak diperbesarkan.

Baru-baru ini tular rakaman video berdurasi 28 saat memaparkan Mohd Shahiful mengeluarkan satu kenyataan, bagaimanapun semalam, beliau menerusi Facebook telah menyatakan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. – BERNAMA

maaf, neraka, PRU15, kempen, Muhyiddin