Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Jelajah PN Best Tambun di Ipoh, malam tadi. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepadanya pada tahun 1998. 

Muhyiddin mendedahkan Anwar menawarkan jawatan itu sebelum Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dipecat daripada Jemaah Menteri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Menurut Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, Anwar ketika itu memberitahunya Dr Mahathir sudah berjanji menyerahkan jawatan Perdana Menteri selepas penganjuran Sukan Komanwel di Kuala Lumpur. 

“Sebelum dia dipecat, dia kata tak apa, hang tunggu sekejap. Masa itu saya tak puas hati jadi Menteri Belia dan Sukan selepas jadi Menteri Besar Johor. 

“Dia kata jangan berhenti, tunggu. Tun Mahathir kata dekat dia lepas Sukan Komanwel, dia akan jadi Perdana Menteri dan dia mahu saya jadi TPM. 

“Ini cerita yang tak pernah saya ceritakan (kepada umum),” katanya. 

Baca artikel berkaitan: 22 bulan dalam PH cukup menyeksakan – Muhyiddin

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Jelajah PN BEST di Tambun, Ipoh, malam tadi. 

Mengulas lanjut, Muhyiddin mendakwa, Anwar sekali lagi mengulangi ‘janji’ serupa semasa dibebaskan daripada penjara pada tahun 2018 lalu. 

Bagaimanapun, Muhyiddin yang pernah dilantik sebagai Perdana Menteri sewaktu tempoh paling mencabar menegaskan, Anwar tidak akan dapat menjadi Perdana Menteri selagi ‘berkawan’ dengan DAP

“Lepas dia dibebaskan, dia cakap semula. Dia panggil saya, waktu itu dia masih lagi di hospital. Dia beritahu saya, you ingat tak saya beritahu masa tahun 1998? Saya kata apa dia? Dia kata bila dia jadi Perdana Menteri, saya jadi TPM. 

“Saya kata sudahlah Anwar. Bila saya jadi Perdana Menteri, dia datang jumpa saya di pejabat. Saya pun kata, maaf Anwar, saya dah jadi Perdana Menteri. 

“You takkan dapat menjadi Perdana Menteri selagi berkawan dengan DAP. Orang Melayu akan tolak you kerana bersama DAP. Saya bercakap terus terang,” jelas beliau. 

Muhyiddin berkata, Anwar menghadapi tugas sukar menentang penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. 

Beliau berkata, Ahmad Faizal dilihat berpeluang cerah untuk menang dengan majoriti yang cukup besar. 

“Saya tahu Anwar tak boleh buat apa. Bukan nak memburukkan Anwar tetapi dah berapa lama dia tidak berada dalam pentadbiran kerajaan?

“Saya tidak menafikan tetapi kalau 20 tahun meninggalkan pentadbiran kerajaan dan kembali sebagai Perdana Menteri, saya fikir agak sukar kerana kena memahami dasar serta tindakan,” katanya. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram