Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika hadir merasmikan Konvensyen Barisan Nasional Selangor di Shah Alam baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob langsung tidak pernah ambil peduli terhadap cercaan yang dilemparkan pembangkang terhadapnya dengan dakwaan pemimpin paling singkat bergelar Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau menegaskan, apa yang penting adalah pencapaian kerajaan pimpinannya sepanjang tempoh 14 bulan lalu.

“Yang penting pengisian sewaktu tempoh tersebut.

“Tempoh masa pendek atau panjang itu tidak penting. Panjang tapi tidak melakukan apa-apa untuk kepentingan rakyat pun tidak ada makna,” katanya seperti dilapor FMT.

Ismail Sabri berkata, sejak menggalas tugas sebagai Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu, tiga perkara telah ditetapkan untuk dijadikan sebagai fokus utama kerajaan.

Katanya, tiga perkara tersebut adalah menangani wabak COVID-19 yang masih mengganas, situasi ekonomi semakin memburuk dan politik tidak stabil.

“Tiga isu ini yang perlu saya fokus. Walaupun saya diberi jangka masa yang pendek tetapi perkara-perkara tersebut dapat diatasi.

“COVID-19 dapat diturunkan sehingga kita boleh buka semula sektor ekonomi,” katanya.

Merentasi politik

Manakala keadaan politik dapat distabilkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH), yang pertama seumpamanya dalam sejarah negara.

Baca artikel lain: Undi awal: PM ingatkan rakyat buat pilihan tepat

MoU itu membawa kepada beberapa penambahbaikan sistem demokrasi negara termasuk undang-undang anti-lompat parti dan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

“Saya lihat perbalahan politik sia-sia sahaja kerana fokus yang patut diberikan oleh kerajaan adalah untuk menyelesaikan isu COVID-19 dan memulihkan ekonomi,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara semasa pentadbiran beliau.

Jumaat lalu Malaysia mengumumkan pertumbuhan KDNK 14.2 peratus untuk suku ketiga 2022.

Diapit pesaing

Ismail Sabri menyerah kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilai prestasinya namun berharap orang ramai akan mengambil kira pentadbirannya adalah kerajaan campuran melibatkan pesaing Barisan Nasional (BN), seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – yang ditubuhkan pada 2016 untuk memusnahkan UMNO.

“Bukan senang nak urus kerajaan campuran, terutama yang terdiri daripada pesaing anda.

“Kena ingat UMNO tidak mahu situasi itu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, UMNO mahu pilihan raya umum diadakan selepas kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang, tetapi ia tidak dapat diadakan kerana COVID-19 mengganas.

Katanya, bukan BN yang menyebabkan kerajaan PH tumbang, sebaliknya ia berlaku selepas Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan PAS membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020.

Mewujudkan kestabilan

Kerajaan Muhyiddin tumbang pada Ogos 2021 apabila UMNO menarik sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri, lalu membawa kepada pembentukan Kabinet baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri.

Beliau berkata, pentadbirannya menggunakan peluang itu untuk kepentingan rakyat, di sebalik kerumitan dan cabaran mengurus pakatan parti-parti yang bersaing.

Antaranya membelanjakan RM77.7 bilion untuk subsidi pada 2022, seganda perbelanjaan tahun lepas kerana kerajaan faham ramai yang masih bergelut walaupun ekonomi dibuka semula.

“Pentadbiran saya juga ambil langkah tegas mengawal harga barang. Permit import (AP) bahan makanan kita mansuh.

“(Juga) diwujudkan stok simpanan bahan makanan perlu. Kita peruntukan RM1.1 bilion untuk membantu penternak ayam kurangkan harga burung dan telur.

“Eksport ayam dilarang bagi tempoh tertentu agar bekalan untuk rakyat mencukupi,” katanya.

Bagi membantu isu rumah B40 dan M40, Ismail Sabri berkata kerajaan membelanjakan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang memberi manfaat kepada 9.6 juta rakyat, sejuta lebih ramai berbanding 2021.

“Kerajaan juga belanja RM2.3 bilion untuk bantuan mangsa bencana banjir besar, akhir tahun lepas,” katanya.

Susulan kecelaruan politik kepartian berpanjangan, beliau mengambil langkah berani mencadangkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu demi membentuk kerajaan stabil yang diinginkan rakyat.

Ismail Sabri adalah calon pilihan BN untuk jawatan tertinggi tersebut sekiranya gabungan itu menang pada 19 November ini.

Beliau yakin sudah melakukan yang terbaik dalam tempoh pentadbiran singkat.

Kerajaan yang diterajuinya membuktikan Ismail Sabri dan BN boleh mewujudkan kestabilan, kemakmuran dan penambahbaikan untuk negara seperti yang dijanjikan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram