SEMPENA hari mengundi awal, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat supaya membuat pilihan yang tepat.

Beliau mengingatkan jangan sekali lagi tersalah langkah seperti dilakukan dalam pilihan raya umum yang lalu sehingga mengakibatkan banyak perkara telah dirancang terpaksa dibatalkan.

Katanya lagi, rakyat boleh menilai sendiri bagaimana Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selama 22 bulan berbanding lebih 60 tahun di bawah Barisan Nasional (BN).

“Peluang diberikan kepada Pakatan Harapan oleh rakyat ketika itu adalah untuk melihat perubahan yang boleh dilakukan oleh mereka, tapi apa yang jelas mereka gagal.

“Mereka gagal melaksanakan apa yang diharapkan oleh rakyat, rakyat tergantung daripada manifesto yang mereka bentangkan.

“Tetapi akhirnya semua manifesto itu tidak dapat mereka laksanakan, mereka perlu membuat perbandingan,” katanya dalam sidang media, malam tadi.

Baca artikel lain: Calon TPM belum dibincang – Ismail Sabri

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santai Anak Muda Kuala Selangor.

Yang turut hadir calon BN bagi Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yakin kakitangan kerajaan akan bersama BN pada pilihan raya kali ini berdasarkan kepada pelbagai inisiatif telah diberikan kepada mereka.

Katanya, situasi itu nyata berbeza ketika ditadbir PH, di mana kakitangan kerajaan berdepan dengan pelbagai tekanan dan kesukaran.

“Saya lihat sokongan kepada Barisan Nasional adalah tinggi, selama saya menjadi Perdana Menteri pelbagai insentif telah pun diumumkan.

“Dari segi kerajaan memang kita menjaga kepenting penjawat awam jauh lebih baik daripada PH, jadi saya yakin penjawat awam akan menyokong Barisan Nasional,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram