Tiga beradik yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa dan adik bongsu mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 200 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) hala timur, berhampiran Kampung Paya Bungor di Kuantan hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kejadian yang berlaku pada 4 petang, menyebabkan kontraktor Mohamad Shafiq Zailani, 33, dan isterinya Faeiznoor Mansor, 32, maut di tempat kejadian.

Anak lelaki pasangan itu Daryan Marwa yang berusia 10 bulan pula disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. 

Tiga lagi anak pasangan itu Mohamad Danish Uqasha, sembilan; Dhia Medina, lima; dan Damiaa Melissa, dua; pula cedera ringan. 

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda dipandu Mohamad Shafiq dari Bandar Jengka di Maran menghala ke Kuantan terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Mohamad Shafiq berasal dari Felda Jengka Enam, Maran manakala semua mangsa yang lain beralamat di Felda Bukit Sagu di sini.  

Wan Mohd Zahari berkata jenazah mangsa dibawa ke HTAA untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas saringan COVID-19 diperoleh.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

— BERNAMA

Saturday , 19 November 2022