PADA zaman dahulu, soal keperawanan dianggap sesuatu yang penting, bahkan di sesetengah tempat ada yang mengamalkan budaya tertentu berkaitan soal keperawanan ini.

Bagi masyarakat Zulu di Afrika, perawan adalah nilai tentang bangsa. Bagi memastikan ketulenan seseorang perawan itu, jangan terkejut jika si gadis dalam kalangan masyarakat ini mempunyai sijil pengesahan dara.

Dipercayai budaya mengesahkan dara ini telah wujud sejak 200 tahun lalu. Tujuannya untuk mengesahkan ketulenan keturunan Zulu. Namun, selepas berlaku beberapa siri peperangan antara etnik di sini, ujian ketulenan dara dilakukan bertujuan untuk membendung gejala rogol di kalangan askar yang menceroboh. Selain itu, ia juga dikatakan untuk membuang baka daripada puak menceroboh yang dilahirkan oleh keturunan Zulu.

Selepas beberapa dekad, ujian ketulenan dara diteruskan bagi membendung penyakit berkaitan aktiviti seksual. Tujuannya agar penyakit bawaan seksual dapat dibersihkan daripada wanita Zulu dan seterusnya menjamin kelahiran generasi Zulu yang gagah perkasa di masa depan.

Anak-anak gadis Zulu harus menjalani ujian pengesahan dara.

Mengikut perangkaan yang pernah dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008, gejala Aids di Afrika meningkat tinggi.

Kerana itu ujian pengesahan dara ini bukanlah satu bentuk stereotaip terhadap wanita di sana tetapi ia merupakan satu tradisi bagi menjaga keturunan.

Untuk mendapatkan sijil pengesahan dara ini juga akan dilakukan dalam sebuah pesta di mana sekumpulan penguji yang dikenali sebagai Isigqi seSintu akan dilantik bagi melihat dara yang terdapat pada seseorang gadis. Isigqi ini terdiri daripada beberapa orang wanita yang mempunyai status dalam masyarakat.

Mengikut tradisi ini, pemeriksaan dara bermula seawal usia enam tahun. Namun kini ia dilakukan terhadap remaja berusia 12 dan 18 tahun. Memandangkan gejala sosial makin menebal di kalangan masyarakat di bandar, aktiviti ujian pengesahan dara lebih kerap dilakukan terhadap gadis yang masih bersekolah.

Sekumpulan penguji akan menjalankan ujian dan melihat apakah seseorang gadis itu masih dara ataupun tidak.

Kebimbangan ibu bapa di kawasan bandar sangat tinggi berikutan peningkatan gejala sosial. Keadaan bertambah rumit apabila remaja lelaki sudah mula mengenali seks seawal usia 10 tahun. Keadaan itu menjebakkan ramai anak gadis kepada penyakit seksual, AIDS dan mengandung sebelum berkahwin.

Oleh itu, salah satu cara untuk memastikan anak-anak gadis berada dalam keadaan selamat dan sihat, mereka perlu menjalani ujian pengesahan dara dengan lebih kerap. Ia juga disambut baik oleh ibu bapa yang berasa lebih selamat jika ujian ini dilakukan sekerap mungkin terhadap anak gadis mereka walaupun terpaksa mengeluarkan wang untuk mencetak sijil.

Selepas ujian pengesahan dara dilakukan, si gadis akan mengangkat sumpah untuk tidak melakukan seks sebelum berkahwin.

Di kalangan masyarakat Zulu, perkahwinan seseorang gadis akan dilakukan selepas si gadis berusia 18 tahun. Jadi untuk tempoh masa itu, si gadis akan dijaga ketat oleh ahli keluarga dan masyarakatnya.

Bangsa Zulu ialah masyarakat bertanggungjawab menjaga dan mendidik semua anak remaja dalam kaum ini. Tidak kira anak siapa, pengawasan akan sentiasa dilakukan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

Meskipun begitu, pengaruh luar yang meresap ke dalam masyarakat menyebabkan pelbagai gejala negatif menular. Lebih membimbangkan, apabila gejala Aids akibat aktiviti seksual menyebabkan ramai wanita meninggal dunia. Justeru, amalan tradisi sebegini dilihat sebagai satu alternatif secara psikologi untuk mengawal gejala itu.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram