Pada zaman dahulu, sistem kereta api masih banyak menggunakan tenaga pekerja. Antaranya ialah pengawal dan tukang lampu isyarat. Namun, pernahkah anda mendengar haiwan menjalankan tugas tersebut?

Ada! Iaitu seekor monyet spesies babun bernama Jack yang pernah melakar sejarah melakukannya.

Kisah ini berlaku di stesen kereta api di Cape Town, Afrika Selatan. Ada seorang lelaki bernama James Wide yang bertugas sebagai pengawal di stesen itu.

James bukan orang baru di situ. Dalam masa 10 tahun bertugas, dia digelar sebagai ‘The Jumper’ kerana ketangkasannya mampu melompat naik dan turun daripada kereta api yang bergerak.

Tetapi, pada tahun 1877, satu kemalangan telah menimpa James apabila dia tersalah langkah sewaktu melompat turun dari keretapi menyebabkan kakinya cedera teruk, menyebabkan kedua-dua kaki James terpaksa dipotong.

Memandangkan James sudah lama bertugas, pihak syarikat yang bersimpati dengan nasib James yang kudung kedua kakinya masih memberikannya kerja sebagai seorang tukang isyarat. Tugasnya lebih mudah dan tidak banyak bergerak, hanya memberi maklumat kepada konduktor melalui isyarat di atas trek.

Untuk pergi dan pulang bekerja, James membuat sebuah troli supaya dia dapat duduk di atasnya. Pun begitu, untuk menjalankan troli itu juga memerlukan tenaga dan ia sering meletihkan James.

Pada tahun 1881, sewaktu berkunjung ke pasar, James melihat seekor babun yang memandu kereta kuda. Tidak menunggu lama, James terus berjumpa dengan pemilik babun itu lalu membuat tawaran untuk membeli haiwan tersebut.

Pemilik asalnya setuju menjualkan babun itu. Cuma dia berpesan kepada James agar babun itu diberikan sedikit Brandy (sejenis arak) setiap malam supaya haiwan itu mendengar kata dan lebih mudah mengikut arahan keesokan harinya.

James membeli seekor babun asalnya untuk membantu menolak trolinya selepas kehilangan kedua belah kakinya.

Bermula Tugas Jack

James menamakan Babun itu sebagai Jack. Ia dilatih untuk membantu menolak troli dinaiki Jack agar lebih mudah untuk dia pergi dan pulang bekerja.

Namun, lama kelamaan James mula menyedari Jack adalah lebih cerdik daripada sekadar menolak trolinya. Babun itu mula melakukan apa yang dilakukan oleh James. Contohnya mengambil kunci dari loker, bahkan mengendalikan tuas dalam kotak isyarat pada bahagian trek.

Secara logiknya, tidak masuk akal seekor babun untuk mengendalikan kotak isyarat itu. Tetapi Jack cepat belajar malah memahami apa yang perlu dilakukan berdasarkan latihan dan pengamatannya terhadap tugas tuannya sendiri.

Bayangkan, haiwan ini mampu mengendalikan beberapa buah tuas isyarat yang mengawal trek kereta api itu mengikut susunan yang ditetapkan. Jack juga hafal apa yang perlu ditarik berdasarkan bunyi wisel pemandu di mana setiap tiupan wisel itu mempunyai maksud tersendiri.

Jack si babun. Haiwan ini mampu mengawal dan melakukan tugas seorang pengawal isyarat stesen kereta api.

Lama kelamaan, kerjasama erat James bersama Jack, seorang lelaki kudung bersama seekor babun menjadi satu pemandangan biasa di stesen itu.

Pun begitu, tidak semua orang sukakan pemandangan tersebut. Seorang yang berpengaruh dalam masyarakat telah membuat aduan dengan alasan nyawa manusia dipertaruhkan di atas tangan haiwan. Akibatnya, James dan Jack dipecat.

Namun, ramai membantah pemecatan itu dan mereka mengusulkan sokongan terhadap James dan Jack. Atas desakan, pihak syarikat telah menjalankan ujian untuk menilai kebolehan Jack. Hasilnya, Jack si babun lulus cemerlang semua tugas yang diberi.

Akhirnya, James dan Jack diberi semula pekerjaan mereka. Jack diberi gaji sebanyak 20 sen sehari (bersamaan USD5 hari ini). Malah, babun itu turut mendapat bonus tambahan minuman bir.

Keputusan itu juga memberi nilai tambah kepada pihak syarikat apabila stesen keretapi itu mula menjadi tarikan pelancong yang datang kerana mahu menyaksikan Jack.

Jack si babun bertugas di stesen keretapi itu selama 9 tahun, dan sepanjang masa dia bertugas, belum pernah sekalipun haiwan itu melakukan kesilapan.

Sayangnya, pada tahun 1890, Jack mati akibat penyakit tuberkulosis. Walau pun sudah tiada, namanya masih dikenang sehingga kini sebagai satu-satunya babun yang pernah menjadi pengawal stesen kereta api. Tengkorak Jack kini berada dalam simpanan Muzium Albany di Grahamstown.

James dan Jack, nama yang amat dikenali di stesen keretapi Cape Town suatu ketika dahulu.
Selama 9 tahun bertugas di stesen itu, belum pernah Jack melakukan kesilapan.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram