Sewaktu Khalifah Umar al-Khattab mendapat berita tentera Islam pimpinan panglima al-Muthanna sedang mengalami kekalahan dalam perang bersama Parsi, beliau menghantar satu pasukan tentera Islam yang diketuai seorang lelaki. Lelaki ini memimpin pasukannya sehingga memenangi pertempuran dalam perang al-Qadisiyah.

Marah dengan kekalahan itu, maharaja Paris mengarahkan seluruh kekuatan bala tenteranya untuk bertempur dengan tentera Islam tersebut. Kedua-dua pasukan bertemu di Iraq dan dipisahkan oleh sungai Tigris. Sungai itu sedang naik airnya dan arusnya juga deras.

Di tepi sungai, lelaki itu mengarahkan pasukannya mencari perahu untuk menyeberangi sungai tersebut, tetapi tidak berhasil. Semua perahu sudah dirampas oleh pihak musuh.

Disebabkan tiada kenderaan yang boleh digunakan untuk menyeberangi sungai itu, tentera Islam menunggu  selama beberapa hari di bulan Safar di tepi sungai tersebut, sedangkan tentera musuh di seberang sungai sudah bersedia dan mendapat bantuan lebih banyak.

Malam itu, lelaki tersebut bermimpi. Dalam mimpi itu, dia melihat kuda-kuda tentera Islam menyeberangi sungai itu hingga ke seberang. Sebaik jaga dari tidur, lelaki itu percaya mimpi itu sebagai satu petanda.

Berkata lelaki itu kepada pasukan tenteranya, “Aku akan mengharungi sungai ini dengan kuda agar dapat sampai kepada mereka.” Kata-katanya disokong oleh seluruh tenteranya.

Sebelum mengizinkan tenteranya menyeberangi sungai itu, dia berdoa, ”Cukuplah bagi kita Allah dan Dia sebaik pemimpin.”

Sebelum mengizinkan tenteranya untuk menyeberangi sungai Tigris, dia turut menyuruh mereka berdoa “Kami memohon pertolongan daripada Allah. Kami berserah diri kepada Allah. Pelindung kami adalah Allah dan Dia adalah sebaik-baik tempat untuk berserah diri. Tidak ada daya kekuatan selain Allah yang maha tinggi dan agung.”

Lalu, tentera Islam yang berkuda segera menyeberangi sungai itu dan memecahkan arusnya yang deras hingga ke seberang. Dengan pertolongan Allah, mereka mengharungi derasnya arus bagaikan sedang berjalan di atas tanah.

Jika diikutkan logik akal, mana mungkin kuda-kuda dan para tentera itu mampu melintasi sungai itu bagaikan melintasi daratan sedangkan sungai itu dalam.

Bahkan, tentera Parsi yang menyaksikan kejadian itu turut terkejut dan tidak lama kemudian melarikan diri ketakutan melihat bukan saja keberanian tentera Islam, namun keanehan yang mereka saksikan dengan mata sendiri.

Malah dalam beberapa catatan disebutkan, tentera Parsi berlari ketakutan sambil menjerit ‘dewana amadan’ yang bermaksud ‘orang gila sudah datang’. Dan dengan mudah tentera pimpinan lelaki itu dapat mengalahkan tentera Parsi yang jauh lebih ramai daripada mereka.

Kisah tentera Islam yang berjalan di atas air ini salah satu tanda kekuasaan Allah yang tidak dapat dicerna logik akal manusia. Namun, jika Dia berkehendak, maka jadilah ia begitu.

Siapa lelaki yang memimpin pasukan tentera Islam itu?

Dia adalah  Sa’ad ibn Abi Waqqas, salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang dijanjikan syurga untuknya. Juga seorang yang dikabulkan segala doanya dan tepat segala bidikannya.

Abu Nu’aim meriwayatkan daripada Hubaib bin Suhban katanya, “Ketika tentera Parsi sedang menyaksikan tentera Islam yang sedang berjalan di atas sungai Dajlah bersama Sa’ad bin Abi Waqas mereka berkata : Sungguh tentera ini bukan tergolong daripada manusia mereka adalah daripada mangsa jin yang menyerupai manusia.”

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’