Abu Bakar dimuliakan Allah
Sekadar gambar hiasan

“Adakah Muhammad berkata begitu? “Benar?” Saidina Abu Bakar as-Siddiq pun lantas berkata, 

“Jika Muhammad berkata begitu, maka sungguh benarlah apa yang telah diceritakannya itu,” “Engkau percaya hai Abu Bakar bahawa Muhammad sampai ke Tanah Syam yang lebih sebulan perjalanan tetapi beliau pulang dalam satu malam?”

Maka Saidina Abu Bakar pun menyahut dengan tegas membalas soalan kaum yang tidak mempercayai kerasulan nabi itu. 

“Benar, Aku percaya! Malah lebih daripada itu aku percaya kepadanya. Aku percaya akan berita dan langit yang diberitakannya itu, baik pada waktu siang mahupun pada waktu malam.”

Begitulah hebatnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq mempertahankan kenyataan Rasulullah s.a.w. terhadap golongan yang mencurigainya ketika peristiwa Israj dan Mikraj. Lantaran keteguhan iman dan ketegasan beliau terhadap agama yang dibawakan oleh Muhammad s.a.w. maka beliau telah diberikan gelaran sebagai ‘as-siddiq’  yang bermaksud orang yang bersifat benar.

Malah, Abu Bakar juga disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai sahabat yang paling rapat dengannya sehingga nabi menyebut dalam hadisnya, 

“Sesungguhnya orang yang paling berjasa kepadaku dengan ikatan persahabatan dan dukungan hartanya adalah Abu Bakar. Seandainya aku boleh mengangkat seorang Khalil, kekasih terdekat selain Rabb-ku niscaya akan aku jadikan Abu Bakar sebagai Khalil-ku. Namun, cukuplah antara aku dengan Abu Bakar ikatan persaudaraan dan saling mencintai karena Islam. Dan tidak boleh ada satu pun pintu yang tersisa di [dinding] masjid ini kecuali pintu Abu Bakar.”

Jika diperhatikan, Abu Bakar mendapat keistimewaan di sisi kekasih Allah, kerana apa? Ia disebabkan Abu Bakar dan juga para sahabat lain rela berkorban apa sahaja, jiwa raga, harta malah nyawa sekalipun demi Nabi Muhammad s.a.w. yakni sahabatnya itu. Begitu besar pengorbanan yang sahabat lakukan terhadap nabi, ingat lagi peristiwa Ali menggantikan tempat tidur Baginda ketika hampir dibunuh puak muysrikin?.

Namun, menjadi persoalannya ialah, mengapa kita selaku umatnya tidak mampu merasa ikatan ukhwah persahabatan yang terbina itu segar di sanubari? Kenapa sekarang begitu senang orang mengkhianati sahabatnya meskipun telah berjanji dan sumpah setia?

Kepercayaan yang menjadi asas kepada persahabatan ibarat tidak bermakna apa-apa dan patut dihumban ke laut sahaja. Kesetiaan yang dibina sekian lama, telah runtuh sekelip mata akibat tamakkan wang, harta dan kekuasaan. Keikhlasan yang sering diungkapkan ketika berinteraksi kini hancur lumat ditelan pengkhianatan yang berlaku sekelip mata.

Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah perumpamaan yang selayaknya boleh diberikan kepada mereka yang pernah mengalami situasi ini. Amat perit, tetapi terpaksa ditelan juga.

Kalau dahulu, di zaman nabi dan para sahabat, mereka boleh mengikat hati-hati mereka dengan ikatan ukhwah islamiyah, tetapi sekarang ini, walaupun seakidah dan seagama, masih lagi sukar mencari sahabat sejati. Sering mengkhianati dan menikam pula dari belakang. Barangkali sudah tiada lagi sahabat seumpama itu pada hari ini. Kenapakah sahabat sejati dunia akhirat susah dicari?

Sebenarnya keadaan seperti ini, yakni kawan makan kawan berlaku pada hari ini kerana kebanyakan masyarakat sekarang tiada ilmu dalam bersahabat. Mereka hanya bersahabat sekadar mengisi masa lapang atau kerana tujuan tertentu dan tidak memahami hakikat persahabatan seperti yang dijelaskan menurut al-Quran dan hadis peninggalan Nabi s.a.w.

Ilmu pengetahuan dalam menjalinkan persahabatan ini maksudnya setiap dari orang yang bersahabat itu perlu tahu tentang kelebihan berukhwah dalam mencari kebaikan dan ketaqwaan.

Setiap perkara yang dilakukannya juga haruslah dikenalpasti akan ganjarannya di sisi Allah. Jika tiada ilmu, maka setiap perbuatan kebaikan yang dilakukan terhadap sahabat tidak akan sampai ke hati, setakat sentuhan biasa, ungkapan yang tidak bermaksud apa-apa.

Ilmu pengetahuan ini boleh didapati dengan pembelajaran secara langsung yakni menuntut ilmu dan juga melalui pengalaman. Selain itu setiap orang berpotensi mendapat kebaikan dalam bersahabat jika benar-benar inginkannya.

Perkara paling asas dalam membina sebuah persahabatan ialah niat, yakni niatkan ke arah hubbul minallah. Iaitu berkasih sayang kerana Allah, bukan kerana perkara lain. Jika persahabatan dan ukhwah yang terjalin itu bukan kerana Allah, maka kebarangkalian akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti dikhianiti, ditikam dari belakang dan sebagainya. Ini kerana, asasnya tidak ada, jika ada sekalipun, bukan berlandaskan syariat, tetapi berlandaskan dunia semata-mata.

Seorang yang mengkhianati sahabatnya tidak layak mendapat kemuliaan

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad,

“Sesungguhnya ikatan keimanan yang paling kuat adalah engkau mencintai kerana Allah dan engkau membenci juga kerana Allah.”

Sepatutnya sebagai hamba yang beriman dan sahabat yang baik, kita mesti tahu apa ganjaran dari Allah jika kita menjalinkan persahabatan dengan ikhlas, barulah kita tidak akan mengharapkan balasan manusia.

Seperti mana hadis yang diceritakan oleh Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Tiga perkara apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: iaitu dijadikan Allah dan rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah, dan apabila benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilemparkan ke neraka,” (HR Bukhari)

Sangat jelas di situ, berdasarkan hadis, ganjaran yang diberikan oleh Allah, melalui nikmat iman itu sangat tinggi kepada hamba-Nya yang taat dan disebut juga mencintai dalam konsep berkasih sayang kerana Allah.

Berhati-hati dalam memilih sahabat. Ini kerana Rasulullah ada menyebut yang sahabat adalah cerminan diri kepada kita. Malah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud ada menyebut Rasulullah berkata,

“Bersahabat dengan orang soleh dan dengan orang jahat seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak.”

Oleh itu, dalam memilih sahabat, perlu kepada ciri-ciri mentaati Allah. Walau bagaimanapun, ekoran pada zaman yang penuh mencabar ini, keseimbangan orang baik dan tidak baik semakin seimbang malah kadang-kadang lebih condong kepada golongan yang tidak baik ramai, maka perlu juga orang soleh berkawan dengan orang yang tidak baik.

Maka tugas orang soleh itu ialah membawa sahabatnya ke arah kebaikan. Tetapi, orang soleh terbabit harus melintang arus, tidak boleh mengikuti sahaja rentak sahabatnya, tetapi perlu bertegas dalam hal kebaikan.

Selain memberi contoh yang baik melalui teladan, sahabat soleh juga boleh mendoakan sahabatnya itu supaya kembali menerima kebaikan. Lebih baik jika doanya itu dilakukan secara sembunyi, iaitu tidak diketahui oleh orang yang didoakan, sebagaimana hadis Nabi s.a.w.

“Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” (HR. Muslim)

Malah, kita juga boleh meminta sahabat mendoakan kebaikan untuk kita. Sedangkan Rasulullah s.a.w. pernah meminta Umar al-Khattab mendoakan beliau, inikan pula kita hamba yang penuh kelemahan.

Dalam hadis yang diceritakan oleh Umar al-Khattab dan diriwayatkan oleh Abu Daud mengatakan,

“Pada suatu ketika saya memohon izin daripada Rasulullah s.a.w. untuk pergi umrah. Baginda mengizinkan saya. Beliau berpesan “Jangan lupa doakan kami wahai saudaraku.” Saya amat berbesar hati dengan ungkapan Baginda tersebut.” Wallahu a’lam

_______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram