MENEPATI ramalan ramai, penyanyi Jaclyn Victor diumumkan juara program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang disiarkan secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.

Jac mengetepikan lima peserta lain dan meraih hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Paris, Perancis, pakej penginapan di Hotel Royale Chulan Cherating, Pahang dan trofi kemenangan tajaan Astro.

Malah, Jac yang mempersembahkan lagu It’s All Coming Back To Me Now dan This Is Me turut dinobatkan pemenang Anugerah Next Level Digi dan menerima wang tunai RM5,000, Anugerah Bintang Memukau Adabi juga turut menerima wang tunai bernilai RM2,000 serta produk Adabi bernilai RM500.

Menerusi segmen ‘battle’, Jac berduet dengan V.E menerusi lagu The Real Slim Shady (Eminem) dan Sang Saka Biru.

Sementara itu, Bob Yusof berada ditempat kedua dan memenangi wang tunai RM50,000, pakej percutian ke Dubai dan Abu Dhabi, pakej penginapan di Hotel Royale Chulan Damansara, serta trofi.

Bob turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak.

Manakala, Shila Amzah menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang kemenangan bernilai RM30,000, pakej percutian ke Seoul, Korea Selatan, pakej penginapan di Hotel Royale Chulan Pulau Pinang, beserta trofi.

Penyanyi Tomok berada di kedudukan keempat dan membawa hadiah wang tunai bernilai RM20,000, pakej percutian ke Chiang Mai, Thailand, pakej penginapan di Hotel Royale Chulan Damansara dan trofi.

Meskipun berada di kedudukan kelima dan keenam, kumpulan V.E dan Hazrul Nizam tidak pulang dengan tangan kosong.

V.E membawa pulang wang tunai RM15,000, pakej percutian ke Dalat, Vietnam, pakej penginapan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dan trofi.

Manakala, Hazrul menerima wang tunai RM10,000, pakej percutian ke Jakarta dan trofi.

GV9 yang disiarkan secara langsung di Astro Ria itu dihoskan oleh gandingan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein.

Barisan juri tetap ialah Datuk Ramli MS, Datuk Shafinaz dan Hetty Koes Endang. Manakala, Edry Abdul Halim merupakan juri jemputan.