Perkasa sistem pengangkutan awam di ibu negara

Dari Penulis

KESESAKAN lalu lintas sejak sekian lama menjadi menu kehidupan warga kota Kuala Lumpur. Sehingga ini belum nampak penyelesaian tuntas walau pun pelbagai usaha dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina jalan baharu atau menambah baik sistem jalan raya sedia ada.

Pertambahan penduduk yang pesat serta jumlah kenderaan yang terus meningkat setiap tahun menambah rumit lagi masalah kesesakan. Ini kerana usaha membina atau memperbaiki jalan mengambil masa lebih lama berbanding jumlah kenderaan baharu yang berada di jalan raya setiap minggu, bulan dan tahun.

Sebagai jalan keluar, DBKL menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai alternatif. Namun pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga menghadapi kekangan kerana terpaksa bergerak dalam kesesakan lalu lintas bersama kenderaan lain.

Kerana itu ramai lebih suka menggunakan kenderaan sendiri daripada menaiki bas atau teksi yang kekerapannya sukar diduga dan jangka masa sampai ke destinasi juga tidak menentu lantaran tersangkut di jalan raya.

Pilihan terbaik yang ada ialah menggunakan khidmat monorail bagi perjalanan jarak dekat dalam ibu negara; Aliran Transit Ringan (LRT) atau Aliran Transit Massa atau MRT. Namun rupanya ini pun belum mampu menjanjikan perkhidmatan terbaik yang tidak menyusahkan pengguna.

Sebagai contoh, penggantungan perkhidmatan khidmat LRT dari Stesen Kelana Jaya ke Ampang Park dari 9 hingga 13 November lalu dianggap memalukan dan mencalar kredibiliti sistem pengangkutan awam di ibu negara.

Pada mulanya, perkhidmatan dijadual digantung sehingga 15 November. Namun keluh kesah serta rungutan orang ramai menyaksikan tindakan proaktif diambil oleh pengendali LRT, Kumpulan Prasarana, membaiki kerosakan. Gangguan berlaku dikatakan berpunca daripada masalah Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).

Ekoran usaha bersungguh-sungguh mengatasi masalah, perkhidmatan disambung semula lebih awal, iatu pada pukul 6 pagi hari Isnin 14 November. LRT berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi dan diluluskan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
Tentunya ini melegakan pengguna yang bergantung kepada LRT.

Sistem LRT bukan baharu di negara ini. Sepatutnya Prasarana sudah bersedia menghadapi sebarang kerosakan luar jangkaan. Mesti juga sudah ada tenaga pakar yang cepat mengenal pasti masalah yang berlaku dan menyelesaikan segera. Jika ada pelan tindakan pantas ini, tidaklah perlu perkhidmatan digantung sehingga beberapa hari.

Memandangkan LRT adalah pengangkutan awam yang menjadi pilihan ramai, menggantung perkhidmatan menyebabkan kesusahan kepada mereka. Jangan sampai mereka tawar hati jika kejadian seperti ini dibiarkan sering berlaku.

Baca artikel berkaitan: Nasib Zahid bagai ‘ayam menang kampung tergadai’

Sebelum ini pernah berlaku gangguan perkhidmatan LRT. Namun pemberhentian perkhidmatan untuk beberapa hari adalah serius. Ramai pengguna terkandas. Mereka terpaksa menempuh pelbagai kesusahan untuk mencari pengangkutan awam lain.

Kerajaan sering menggesa orang ramai menggunakan pengangkutan awam di ibu negara untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas. Namun jika sistem pengangkutan awam itu sendiri lemah, bagaimana hendak mendorong orang ramai menggunakannya?

Sehingga ini, penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri masih berada pada tahap rendah. Nisbah pengangkutan awam dan kereta persendirian hanya berada pada kedudukan 25:75 sahaja.

Sehubungan itu DBKL meletakkan sasaran nisbah ini meningkat kepada 50:50 menjelang tahun 2025. Seterusnya ia disasarkan pada nisbah 60:40 pada 2035. Nisbah matlamat sasaran ialah 70:30 menjelang tahun 2040.

Kerana itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam proses melaksanakan Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 (PITKL 2040) bagi mencapai matlama tersebut. Pelan tersebut akan berfungsi sebagai panduan di samping mengutarakan cadangan mengenai perancangan isi padu trafik di ibu negara, diselaras dengan pembangunan guna tanah di Kuala Lumpur.

Termasuk dalam pelan ini ialah usaha mewujudkan insfrastruktur jalan baharu di samping menaik taraf insfrastruktur jalan sedia ada di ibu negara. Pihak DBKL optimis jika proses ini dilaksanakan secara optimum akan mampu menambah baik sistem penyuraian trafik di ibu negara yang seterusnya mengatasi kesesakan.

Dengan itu pergerakan lalu lintas di ibu negara akan bertambah lancar. Kuranglah masalah kenderaan merangkak atau bergerak bumper ke bumper.
Sehubungan itu juga pengangkutan awam seperti bas dan teksi akan lebih menjadi pilihan orang ramai.

Selain itu, satu lagi tujuan DBKL menggesa orang ramai tidak menggunakan kenderaan sendiri ialah bagi memenuhi matlamat menjadikan Kuala Lumpur bandar raya rendah karbon. Kurang kenderaan persendirian bermakna kurang kadar pelepasan karbon di udara. Dengan itu udara ibu negara kurang tercemar, lebih bersih dan segar untuk dihirup penduduk.

Kerana itu untuk menggalakkan penggunaan, sistem pengangkutan awam mesti sentiasa efisen dan diperkasa dari masa ke semasa. Apa yang terjadi kepada LRT baru-baru ini adalah satu tamparan kepada penggunaan LRT khususnya.
Malah kejadian seperti itu boleh menyebabkan orang ramai kurang yakin dengan pengangkutan awam. Sekali kejadian berlaku, akan diingat untuk tempuh waktu yang lama.

Oleh itu diharap apa yang berlaku diambil iktibar serta menjadi pengajaran untuk Prasarana khususnya bagi mengelak kejadian sama berulang. Mesti juga ada pelan kontigensi yang efektif sekiranya kejadian berulang agar pengguna tidak menjadi mangsa. Sekali kena, dua kali patut tahu.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Mahfuz dakwa Onn Hafiz kaitkan istana dengan politik

NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar menegur tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengaitkan...

More Articles Like This