SYARIKAT pemula teknologi pelancongan Malaysia, Tourplus Technology Sdn Bhd (Tourplus) mengumumkan kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk menawarkan status akreditasi kepada syarikat pengendali perkhidmatan penginapan di bawah program De Rantau.
Akreditasi itu akan memperakui dan mengiktiraf penginapan mesra pekerja jarak jauh (nomad digital) dan meningkatkan tahap kesediaan mereka untuk menerima penginap kategori tersebut di Hab De Rantau yang terletak di Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang pada masa akan datang.
Menurut Forbes, terdapat lebih 35 juta nomad digital di seluruh dunia yang dijangka menyumbang nilai ekonomi global sebanyak AS$787 bilion setiap tahun. Program De Rantau yang diperkenalkan kerajaan Malaysia berharap dapat memanfaatkan pasaran yang menguntungkan tersebut dan dijangka menjana pendapatan RM70 bilion menjelang 2025 serta pertumbuhan dalam ekonomi digital negara.
Penginapan dari pengendali bertauliah akan dipaparkan pada platform Tourplus. Selain daripada mencari tawaran penginapan yang paling sesuai dengan keperluan nomad digital untuk melakukan kerja mereka dalam suasana percutian, golongan tersebut juga boleh memilih penginapan terbaik melalui platform yang membolehkan mereka menjalin rangkaian dengan individu yang berfikiran sama dan menyelami budaya serta pengalaman baharu.
Untuk mendapat akreditasi, pengendali penginapan perlu membuktikan bahawa premis mereka dilengkapi dengan perkhidmatan rangkaian terbaik, kemudahan dan keselesaan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan pekerja jarak jauh dari seluruh dunia. Premis tersebut mesti memenuhi kriteria-kriteria berikut dan memiliki kemudahan yang diperlukan, termasuk:
- * Penginapan: Katil, bilik mandi, ruang kerja dengan meja dan kerusi, pilihan pembayaran tanpa tunai, keselamatan, dapur atau pantri;
- * Internet: Wifi percuma dengan minimum 100 MBPS, 4G/LTE dan minimum 8 MBPS untuk rangkaian jalur lebar tetap;
- * Komuniti dengan gaya hidup ceria: Kafe dan restoran yang boleh diakses, kedai serbaneka, tempat hiburan, pengangkutan dan perkhidmatan platform digital; dan
- * Penglibatan: Program pendidikan, pengalaman kebudayaan, aktiviti rekreasi dan perhimpunan.
- BERITA BERKAITAN P Pinang, Langkawi, Kedah, KL lokasi rintis DE Rantau
Pengendali penginapan yang tidak memenuhi kriteria akreditasi boleh memohon geran menaik taraf kemudahan premis mereka sehingga RM10,000 daripada MDEC. Dana tersebut bertujuan untuk membantu pengendali penginapan menampung perbelanjaan untuk penyesuaian, pembaikan dan pengubahsuaian premis, membolehkan mereka memperoleh akreditasi dan seterusnya memastikan penginapan dilengkapi dengan kemudahan lebih baik untuk memenuhi keperluan nomad digital.
Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Tourplus, Rickson Goh berkata: “Kami teruja untuk bekerjasama dengan MDEC dalam menyokong cita-cita Malaysia untuk menjadi hab nomad digital pilihan di ASEAN. Dengan peningkatan pekerja jarak jauh di peringkat global ditambah pula dengan lokasi indah Malaysia, kita mempunyai peluang besar untuk menarik ramai bakat asing ke negara ini.”
Akreditasi dan geran dibuka untuk penyertaan kepada semua penyedia penginapan termasuk hotel dan resort bertaraf 1-5 bintang, rumah inap desa dan rumah Airbnb di sekitar Hab De Rantau.
Goh turut berkongsi bahawa Tourplus menyedari hakikat bahawa faedah akreditasi bukan sahaja akan memberi manfaat kepada golongan nomad digital tetapi juga kepada industri pelancongan tempatan.
“Pengusaha penginapan akan mengalami peningkatan tempahan dan pada masa yang sama peningkatan jualan untuk perniagaan berhampiran seperti restoran dan pasar raya. Nomad digital sebaliknya boleh mengenal pasti pilihan penginapan yang sesuai dan kondusif untuk keperluan kerja mereka serta pilihan lain termasuk tempoh penginapan, infrastruktur, kebolehcapaian rangkaian, keselesaan dan keselesaan lokasi seperti tepi pantai atau bandar,” tambah Goh.
Tourplus juga telah dilantik sebagai rakan kongsi ekosistem De Rantau untuk mewujudkan Hab De Rantau yang berkembang maju di seluruh Malaysia dengan memudahkan pertumbuhan restoran di kawasan sekitar, selain kedai dobi, pusat spa dan kesihatan dan banyak lagi melalui promosi aktif khusus untuk golongan nomad digital.
Pekerja jarak jauh atau nomad digital kini boleh menikmati sehingga RM50 bagi setiap tempahan untuk produk dan perkhidmatan terpilih yang disenaraikan di Aplikasi Tourplus.
Untuk maklumat lanjut dan memohon pentauliahan atau geran, pengendali yang berminat boleh menghubungi e-mel: [email protected]
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

