Tan Sri Annuar Musa

PULAU Pinang, Langkawi, Kedah dan Kuala Lumpur dipilih menjadi lokasi rintis bagi fasa pertama program DE Rantau dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan serta mempromosikan mobiliti dalam kalangan warga profesional digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata pelaksanaan DE Rantau yang merupakan salah satu daripada pelbagai Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN), bertujuan menjana kesan limpahan buat ekonomi menerusi akses yang saksama ke atas pengetahuan digital serta peluang pendapatan, sambil mengunjurkan sumbangan RM4.8 bilion untuk ekonomi dalam negara pada tahun 2025.

“Sejajar dengan Malaysia Digital (MD), program DE Rantau akan memacu hala tuju Malaysia untuk menjadi hab pilihan para nomad digital di rantau Asia Tenggara.

“Biarpun berhadapan dengan persaingan yang sengit daripada negara-negara jiran, Malaysia mempunyai acuan yang tepat seperti infrastruktur yang mantap, kos sara hidup yang berpatutan, masyarakat majmuk, populasi berbilang bangsa, makanan yang beraneka citarasa, dan banyak lagi kelebihan lain untuk memperkukuhkan kedudukan kita,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program DE Rantau di World Congress on Innovation and Technology (WCIT) 2022 hari ini.

Beliau berkata gaya hidup nomad digital ini semakin popular disebabkan kemunculan pandemik COVID-19, apabila lebih ramai orang memilih untuk bekerja dan tinggal di mana-mana sahaja sambil memanfaatkan kehidupan dengan penggunaan teknologi.

Baca artikel berkaitan: Pasukan Jihad gagal sebab OPR naik, itu terlalu dangkal – Annuar

Beliau berkata antara inisiatif di bawah program ini adalah pengenalan Pas Nomad DE Rantau yang memudahkan nomad digital warga luar negara yang layak untuk menetap di Malaysia selama 12 bulan dengan pilihan untuk memperbaharui selama 12 bulan lagi.

Katanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menerajui inisiatif ini serta menyelia pembangunan hab-hab nomad digital dan ekosistem tempatan agar ia bersesuaian dengan gaya hidup nomad digital.

Annuar berkata permohonan untuk Pas Nomad DE Rantau akan dibuka mulai 1 Okt 2022 melalui laman web MDEC, dan proses kelulusan akan mengambil masa tidak lebih daripada sebulan.

Beliau berkata kemudahan ini turuti dipanjangkan kepada para nomad digital yang ingin membawa suami, isteri dan anak-anak mereka.

Selain itu, beliau berkata kerjasama akan dijalin dengan para pemain industri bagi menarik para nomad digital melalui pelbagai program capaian dan kesedaran serta memudahkan urusan permohonan Pas Nomad DE Rantau.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram