SEMUANYA bermula pada tahun 1985 apabila lelaki bernama Levon Arakelyan ini mula menggali di bawah kediamannya. Asalnya, isteri Levon, Tosya Garibyan meminta suaminya menggali sebuah lubang bawah tanah di rumah mereka yang terletak di perkampungan Arinj dalam wilayah Kotayk di Armenia, untuk dijadikan tempat penyimpanan kentang.

Levon menunaikan permintaan isterinya. Namun, setelah siap lubang penyimpanan itu, Levon mengalami satu perasaan luar biasa di mana dia menjadi ketagih untuk terus menggali. Malah, dia tidak boleh berhenti untuk menggali setiap hari.

Menurut Tosya, beberapa hari sebelum itu, suaminya sering mengadu bermimpi hal-hal aneh. Setiap hari, suaminya memberitahu bermimpi didatangi satu suara misteri memberitahu supaya terus menggali. Dari situ, Levon menjadi ketagih untuk mengorek tanah di bawah rumahnya.

Untuk kerja-kerja itu, Levon hanya menggunakan peralatan tradisional seperti tukul, ‘Takashi’ iaitu batang logam nipis dan tangannya sahaja. Tiada mesin pengorek mahupun peralatan canggih.

Levon menghabiskan masa lebih 20 tahun untuk menggali dan memahat ruangan di bawah rumahnya.

Pada proses permulaan, Levon melakukannya dengan lancar sekali. Namun, beberapa meter pertama selepas mengorek di bawah permukaan tanah, batu basalt hitam telah menghalangnya. Bagaimanapun, dia dapat menyelesaikan masalah itu dengan menggali batuan gunung berapi yang lebih lembut dan itu membuatkan kerjanya jadi lebih mudah.

Difahamkan, Levon telah menghabiskan masanya selama 23 tahun membuat ruang bawah tanah di rumahnya. Sepanjang tempoh itu, jumlah tanah yang digali keluar mencapai sebanyak 450 buah trak. Dan tanah-tanah itu diangkut keluar dengan hanya menggunakan baldi logam semata.

Levon akan berada lebih kurang 18 jam sehari di bawah tanah dan hanya keluar beberapa jam untuk tidur. Setelah bangun, dia memulakan lagi pekerjaannya. Begitulah rutin harian Levon setiap hari sehinggalah dia meninggal dunia pada tahun 2009 di usia 67 tahun, beliau masih melakukan proses menggali dan menambahkan ukiran rumit pada binaannya.

Siapa sangka, hasil lebih dua dekad menggali, mengukir dan memahat, Levon telah membangunkan sebuah ruangan di bawah tanah rumahnya dengan ukiran ala seni bina Tamadun Yunani dan Rom.

Salah satu ruangan bawah tanah yang digali Levon.
Bagaikan tidak percaya ruangan dan pahatan bawah tanah ini dihasilkan Levon seorang diri.

Kematian Levon disahkan berpunca akibat serangan jantung. Akan tetapi, isterinya, Tosya, percaya faktor kerja dan kurang rehat menjadi punca kematian suaminya. Masakan tidak, Levon tidur cuma tiga hingga empat jam sahaja pada waktu malam. Masalah kurang tidur dan tidak mendapat rehat yang cukup telah merosakkan kesihatannya.

Selepas Levon meninggal dunia, tidak ramai yang tahu akan kewujudan binaan bawah tanah itu. Sehinggalah seorang jurugambar dari Radio Free Europe, Amos Chapple, mendedahkan tentang tempat tersebut.

Chapple memberitahu, dia mengetahui binaan bawah tanah itu melalui sebuah sumber. Dari situ, dia tertarik untuk melakukan perjalanan ke sana. Setibanya di tempat itu, isteri Levon, Tosya tidak mahu menemani Chapple ke bawah tanah kerana itu akan mengingatkan dia pada suaminya.

Bagi menghormati perasaan itu, Chapple memutuskan untuk turun ke bawah seorang diri dengan melalui sebuah lubang. Pada awalnya, dia mengakui agak takut dan gugup ketika mahu memasuki ruangan bawah tanah itu. Apatah lagi ia merupakan kawasan gempa.

Namun, Chapple tetap juga melangkah ke dalam ruangan bawah tanah itu dan akhirnya berjaya memotret segala yang ada di dalam ruangan tersebut. Menurut Chapple, dia berasa sangat kagum melihat hasil kerja Levon. Ini kerana, binaan 20 meter di bawah tanah itu bukan kecil, tetapi cukup besar iaitu merangkumi kawasan seluas 280 meter persegi. Mempunyai tujuh buah bilik yang dihubungkan dengan rangkaian koridor dan tangga.

Bukan sahaja koridor atau tangga, bahkan dindingnya turut dihiasi dengan pelbagai ukiran seni dan patung ala Tamadun Rom. Melihat semua itu, hampir mustahil untuk mempercayai Levon hanya membinanya seorang diri dengan tangan, tukul dan pahat.

Kini, karya Levon itu telah dijadikan sebagai muzium dan dibuka kepada orang ramai.  Bagi Tosya, sebagai isteri beliau berasa bangga dengan apa yang telah dilakukan suaminya untuk diberikan kepada waris-warisnya.

Levon dan Tosya mempunyai empat orang anak perempuan dan lebih 10 orang cucu. Tetapi sayang, tiada seorang pun yang berminat untuk mengambil alih ruangan bawah tanah itu.

Pintu masuk ke ruangan bawah tanah yang digali Levon. Isterinya, Tosya ramah menyambut kedatangan pelancong yang mahu melihat hasil seni suaminya itu.
Tiada bahan moden, inilah peralatan yang digunakan Levon dalam menggali dan memahat ruangan bawah tanah tersebut.
Tangga masuk menuju ke ruangan bawah tanah.
Ini ialah rumah Levon dan isterinya. Di bawah kediaman inilah ruangan bawah tanah yang digalinya selama 23 tahun.
Levon mengabdikan dirinya menggali ruangan bawah tanah ini sehingga ke akhir hayatnya.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram