Countess Elizabeth Báthory de Ecsed tercatat sebagai wanita kejam yang sanggup mengorbankan banyak nyawa hanya untuk kepuasan dirinya. Lahir dalam keluarga bangsawan di sebuah daerah di Hungary, Elizabeth Bathory hidup sekitar tahun 1560 hingga 1614. Bapanya golongan bangsawan Transylvania. Keluarga sebelah ibunya pula merupakan golongan pegawai yang memiliki reputasi tinggi.

Selepas berkahwin dengan Ferenc Nádasdy, anak seorang baron Hungary, Elizabeth berpindah ke Sarvar. Suaminya menghadiahkan sebuah istana yang digelar Istana Čachtice untuk Elizabeth. Istana itu dikelilingi kawasan perkampungan dan pertanian.

Pun begitu, dia sering kesepian kerana kerap ditinggalkan suaminya. Sekitar tahun 1578, suami Elizabeth yang menjadi ketua pasukan dalam ketenteraan Hungary terlibat dalam peperangan ke atas Empayar Turki. Disebabkan itu, Elizabeth ditinggalkan sendirian untuk mengurus ladang dan hal ehwal harta suaminya, termasuk segala urusan berkaitan penduduk kampung yang bekerja dengan istananya.

Di sinilah kisah hitam Elizabeth mula terbongkar apabila ramai anak gadis bangsawan kelas bawahan yang hilang. Sebelum itu, dilaporkan ramai anak-anak gadis kampung yang pergi ke istana itu untuk bekerja, juga didapati hilang.

Tetapi, kes kehilangan itu disenyapkan kerana pengaruh Elizabeth yang kuat. Apatah lagi Elizabeth dihormati masyarakat sekeliling sebagai anak bangsawan dan wanita terpelajar yang menguasai empat jenis bahasa.

Elizabeth Bathory, pembunuh bersiri wanita yang kejam.

Namun, lama-kelamaan Elizabeth dituduh sebagai punca kehilangan dan pembunuhan beratus gadis di Sarvar. Dikatakan lebih 650 anak-anak gadis hilang. Bukan hanya dari golongan bangsawan bawahan, malah juga gadis-gadis petani miskin yang bekerja di istana atau diculik dan dibekalkan kepada Elizabeth oleh pihak ketiga.

Misteri kehilangan gadis-gadis itu telah merebak dan menggemparkan seluruh Hungary sehingga mendesak Maharaja Empayar Roman bertindak. Siasatan ke atas kehilangan mangsa tersebut akhirnya membawa kepada serbuan ke atas istana Elizabeth pada tahun 1610.

Apa yang ditemui di dalam istana itu amat mengejutkan. Begitu ramai gadis dalam keadaan menyayat hati dalam istana tersebut. Ada yang terbaring di atas meja makan, ada yang terikat pada tiang dengan kulitnya disayat. Dalam tab mandi juga dipenuhi darah bersama gadis yang sedang nazak terendam di dalamnya.

Di dalam penjara di istana itu, terdapat sekumpulan gadis yang masih hidup dan hanya menunggu masa untuk dibunuh. Di bahagian bawah tanah istana pula, ditemui lebih 50 mayat yang sudah mulai membusuk.

Mati Dalam Hukuman

Penemuan itu menggemparkan penduduk Sarvar. Istana itu rupa-rupanya adalah ‘neraka’. Cerita di sebaliknya terbongkar. Ada beberapa versi dikaitkan dengan kekejaman yang dilakukan Elizabeth.

Salah satunya kerana sering ditinggalkan suami, Elizabeth terlibat dengan skandal beberapa lelaki yang kemudian bertukar menjadi tabiat biseksual apabila dia mula meminati gadis-gadis muda.

Versi lain pula menceritakan, suatu hari sewaktu seorang dayang menyisir rambut Elizabeth, tanpa sengaja pelayan wanita itu menyisir dengan agak kuat. Elizabeth yang marah merentap kuat gadis itu hingga menyebabkannya berdarah. Beberapa tompok darah itu mengenai tangan Elizabeth.

Beberapa hari kemudian, Elizabeth mendapati kulit tangannya yang terkena darah gadis itu menjadi lebih lembut dan anjal. Peristiwa ini kononnya memberi idea kepada Elizabeth untuk menggunakan darah gadis muda bagi mengekalkan kecantikannya.

Ada juga versi yang mengaitkan Elizabeth dengan ritual Satanisme. Sewaktu usianya melewati 40-an, Elizabeh mula risau dengan kecantikannya yang memudar. Dia percaya, ritual membunuh gadis muda untuk mendapatkan darah mereka adalah penawar kepada kecantikannya yang mula luntur. Legenda mengatakan, darah para gadis itu dibuat mandian, biasanya terisi penuh di dalam tab mandi di istananya.

Hasil siasatan telah mengumpulkan lebih 300 orang saksi dari kalangan penjaga istana dan mangsa yang terselamat antara tahun 1610 hingga 1611.

Menurut semua saksi, antara kekejaman yang dilakukan Elizabeth adalah dengan memukul sehingga mati, bakar, korban kelaparan, menyiat urat, menggigit daging muka, lengan dan bahagian tubuh lain mangsa.

Berdasarkan buku catatan 32 muka surat milik Elizabeth yang disimpan dalam arkib negara Hungary di Budapest, sekurang-kurangnya lebih 650 gadis telah menjadi korban gara-gara obsesnya pada kecantikkan.

Istana Cachtice, di sinilah begitu ramai anak gadis mati akibat kekejaman Elizabeth. Wanita drakula itu juga dikurung di sini sehingga ke penghujung hayatnya.

Elizabeth dan empat orang pekerjanya ditangkap. Kesemuanya dihukum bunuh kecuali Elizabeth kerana statusnya sebagai anak bangsawan.

Elizabeth dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di kamarnya sendiri. Semua pintu dan jendela ruang biliknya ditutup. Hanya sebuah lubang kecil disediakan untuk memasukkan makanan dan minuman.

Pada tahun 1614, genap empat tahun Elizabeth dipenjara, dia dijumpai mati dalam bilik kurungannya dengan wajah tertelungkup di lantai. Usianya ketika itu 54 tahun.

Dengan itu, tamatlah riwayat drakula wanita pertama dalam sejarah peradaban manusia. Setelah kematiannya, Elizabeth dikenang sebagai ‘Blood Queen’ dan tercatat sebagai salah seorang pembunuh wanita bersiri paling kejam.

Perbuatannya yang suka berkubang dalam darah atau meminum darah menyebabkan dia juga digelar ‘Vampire’. Kisahnya juga banyak menjadi pencetus kepada penulisan buku, novel, pementasan teater dan filem.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram