Bunuh 100 kanak-kanak hanya kerana mahu ibu mereka menangis. Ini kisah pembunuh bersiri terkejam di Asia Selatan

Dari Penulis

Nama Javed Iqbal Mughal pernah menggemparkan Pakistan suatu ketika dahulu apabila dia mengaku membunuh 100 orang kanak-kanak. Javed dijatuhi hukuman mati pada tahun 2000. Lebih panas, hukuman mati itu adalah dengan cara dia dicekik sampai mati, tubuh badannya dipotong dan dilarutkan dengan asid di hadapan orang awam.

Kes Javed dianggap antara kes pembunuhan bersiri paling kejam di Asia Selatan dan mencetuskan perbincangan besar di Pakistan mengenai keselamatan penjara, hak tahanan dan kegagalan sistem penguatkuasaan.

Javed Iqbal ditahan sejak 30 Disember 1999, selepas menyerah diri secara dramatik di pejabat sebuah akhbar berbahasa Urdu. Penyerahan itu menamatkan pemburuan terbesar dalam sejarah negara tersebut.

Javed Iqbal, pembunuh bersiri yang menggemparkan Pakistan suatu ketika dahulu.

Sebelum ditahan, Javed telah menghantar beberapa bungkusan dan surat kepada pihak berkuasa dan media mengandungi bukti jenayah, gambar mangsa, diari peribadi dan nota terperinci mengenai pembunuhan yang dilakukannya.

Dalam surat itu, Javed memberitahu dia melakukan jenayah rogol dan telah membunuh 100 orang budak lelaki. Dia turut menceritakan bagaimana dia melakukan jenayah tersebut dengan mencekik dan memotong badan mangsa-mangsanya, kemudian dimasukkan ke dalam tong berisi asid hidroklorik untuk dilupuskan sebelum dibuang ke sungai.

Daripada pendedahan itu, polis telah menemui rangka manusia serta pakaian mangsa di sebuah rumah di Jalan Ravi di Lahore. Kesan darah ditemui di lantai dan dinding, termasuk rantai yang digunakan Javed untuk mencekik mangsanya.

Polis turut menemui dua tong asid yang masih berisi mayat manusia. Menurut Javes, dia sengaja membiarkan tong itu di tempat terbuka agar mudah ditemui pihak berkuasa.

Kebanyakan mangsa Javes adalah golongan anak-anak yatim yang merempat di jalanan, kanak-kanak yang lari dari rumah dan pengemis.

Javed tidak melakukan jenayah ini seorang diri. Dia mempunyai pembantu yang terdiri daripada remaja belasan tahun iaitu Sajid Ahmed berusia 17 tahun, Mamad Nadeem berusia 15 tahun dan Mamad Sabir berusia 13 tahun.

Tiga rakan subahat jenayah Javed yang ditahan.

Sewaktu surat pengakuan jenayah Javed disiarkan, ia telah menggemparkan masyarakat. Dalam surat itu, Javed turut memberitahu dia merancang mahu membunuh diri di Sungai Ravi kerana jenayah yang dilakukannya.

Mujur pihak polis cepat bertindak dan melakukan pencarian besar-besaran untuk memburunya. Setelah berjaya menahan rakan jenayahnya, polis menangkap Javan yang ketika itu berada di pejabat Jang, akhbar berbahasa Urdu terbesar di Pakistan.

Menurut editor akhbar itu, Javan hadir ke pejabat mereka kerana mahu menulis pengakuannya. Ketika itu, pekerja di situ telah menghubungi pihak berkuasa dan lebih 100 tentera telah mengepung bangunan pejabat itu untuk menangkap Javed.

Motif Pembunuhan

Javed melakukan jenayah tersebut hanya dalam tempoh 6 bulan sahaja. Dalam masa singkat itu, dia menamatkan riwayat 100 kanak-kanak tanpa rasa bersalah.

Apa motifnya membunuh? Kenapa mangsanya hanya kanak-kanak?

Javed memberitahu, dia melakukan jenayah itu kerana mahu membalas dendam. Pada tahun 1990-an, dia pernah ditahan polis atas tuduhan melihat kanak-kanak.

Menurut Javed, semasa dalam tahanan polis, dia telah dipukul dengan teruk sehingga kepalanya hancur dan tulang belakangnya patah. Ibunya menangis melihat keadaannya ketika itu.

Disebabkan itu, dia membalas dendam dengan membunuh kanak-kanak lain supaya ibu mereka turut menangis untuk anak-anak mereka. Ya, itulah motifnya.

Salah seorang ibu yang menjadi mangsa Javed mengenal pasti barang milik anaknya.

Bercakap kepada pihak media sejurus selepas ditahan, Javed berkata, dia boleh membunuh sehingga 500 kanak-kanak jika dia mahu. Namun, dia berjanji dengan dirinya hanya mahu membunuh 100 mangsa sahaja dan dia tidak mahu melanggar janjinya itu.

Perbicaraan & Hukuman

Perbicaraan bermula pada Februari 2000. Javed dan rakan-rakan subahatnya didakwa di mahkamah. Namun dia sering mengubah kenyataan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pada 16 Mac 2000, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Javed. Hukuman yang dicadangkan oleh hakim ketika itu dianggap luar biasa dan simbolik yang mencerminkan kemarahan masyarakat terhadap jenayah tersebut.

Hakim berkata, Javed akan dicekik sehingga mati di hadapan ibu bapa mangsa yang dibunuhnya. Tubuh badannya akan dikerat kepada 100 bahagian yang melambangkan 100 kanak-kanak yang menjadi mangsanya. Kemudian, potongan itu akan dimasukkan ke dalam asid, sama seperti yang dilakukannya kepada mangsa.

Namun, belum sempat hukuman itu dijalankan, Javed dan salah seorang rakah subahatnya, Sahid Ahmed yang juga disabitkan bersalah telah membunuh diri dalam penjara.

Mayat Javed yang berusia 40 tahun dan Sajid,20, ditemui oleh pegawai penjara dalam keadaan tergantung dalam sel mereka sekitar pukul 5 pagi pada 9 Oktober 2001. Kedua-duanya ditahan dalam sel berasingan tetapi saling bersebelahan.

Tiada seorang pun ahli keluarga Javed tampil menuntut mayatnya. Dua abangnya, Parvez dan Saeed Mughal menyatakan bahawa Javed sudah mati bagi mereka sejak hari dia mengaku membunuh 100 kanak-kanak itu.

Dua lagi rakan subahatnya juga didapati bersalah. Mamad Nadeem dijatuhi hukuman 14 tahun penjara untuk setiap 13 pertuduhan ke atasnya yang membawa hukuman selama 182 tahun. Manakala Mamad Sabir dijatuhi hukuman penjara selama 63 tahun di atas penglibatannya.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Angkara dengki, WAFA TV hilang daripada radar? Artis veteran terkejut dakwaan saluran disabotaj

BUKAN sekadar khabar angin atau andaian kosong, tetapi kisah yang semakin menjadi bualan dalam kalangan penggiat seni apabila saluran...

More Articles Like This