DI zaman serba canggih kini, amat mudah untuk menghantar mesej. Dengan teknologi, dalam masa yang pantas mesej dapat dihantar walaupun walau di mana kita berada. Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana orang-orang zaman dahulu menghantar mesej untuk berhubung?
Sejarah komunikasi manusia dipercayai bermula dengan menggunakan asap sebagai cara untuk berhubung. Biasanya, isyarat asap yang terhasil di atas bukit menunjukkan makna berbeza.
Masyarakat China kuno menggunakan asap sebagai amaran untuk memberitahu individu lain tentang serangan musuh. Isyarat ini juga digunakan oleh Orang Asli Amerika dan setiap suku yang terlibat mempunyai sistem penyampaian mereka tersendiri. Malah, ada antaranya yang dipercayai masih wujud dan digunakan oleh masyarakat di Rom sebagai menandakan pemilihan Paus (Ketua Gereja Katolik) baru.
Bagi suku Indian Apache, terdapat beberapa cara yang digunakan dalam bentuk mesej ini. Penghasilan asap pertama bertujuan sebagai perhatian. Ia biasanya merupakan tanda untuk melihat isyarat selanjutnya. Kemudian, asap kedua membawa maksud si penghantar dan kem penempatan berada dalam keadaan baik. Ia juga menunjukkan mereka akan tinggal di lokasi berkenaan sehingga ke tempoh pemberitahuan selanjutnya.

Sekiranya kem itu terus kekal, isyarat asap akan dihasilkan secara berterusan pada masa akan datang untuk memberitahu kumpulan jiran tentang keadaan kem tetap dan selamat. Mesej itu penting kerana suku kaum Asli Amerika sering berpindah randah mengikut musim selain bergantung pada sumber makanan dan keselamatan. Manakala isyarat asap yang dihasilkan sebanyak tiga kali bertujuan memberi amaran untuk memulakan pertempuran. Kepulan asap secara berterusan menunjukkan bahaya yang lebih besar dan panggilan untuk mendapatkan bantuan.
Selain asap, penggunaan burung merpati sebagai penghantar mesej juga menjadi antara bentuk pesanan yang pernah wujud. Difahamkan, merpati merupakan spesies burung yang dibiakkan untuk terbang mencari jalan pulang meskipun dalam jarak jauh. Berdasarkan sejarah, cebisan kertas atau nota dimasukkan ke dalam bekas logam dan diikat pada kaki burung. Setelah selesai, haiwan itu kemudian dilepaskan sebagai penghantar mesej kepada penerima.
Pada abad ke 16, amalan menghantar mesej menggunakan botol banyak dilakukan oleh golongan tentera. Tentera Laut Inggeris antara yang kerap menghantar pesanan dengan memasukkan gulungan kertas ke dalam botol sebelum mencampakkannya ke laut.
Difahamkan, mesej itu bertujuan untuk memaklumkan pasukan darat tentang kedudukan musuh. Malah, peraturan tentang mesej dalam botol juga diwujudkan oleh Ratu Elizabeth pada waktu itu. Orang awam dilarang untuk membuka pesanan tersebut sama ada terjumpa secara sengaja atau tidak. Jika ingkar, mereka akan berhadapan dengan hukuman mati.

Sementara itu, penggunaan mesej dalam kalangan masyarakat dunia semakin berkembang maju apabil munculnya telegraf. Pada tahun 1840-an, Samuel Morse membangunkan telegraf elektrik di Amerika Syarikat. Ia berfungsi dengan menghantar isyarat elektrik ke atas wayar yang dipasang di antara stesen.
Dengan bantuan seorang pembantu, Morse kemudiannya membangunkan huruf abjad baru menggunakan titik dan garis yang menjadi standard untuk komunikasi berkenaan. Pada tahun 1844, dia telah menghantar telegram pertamanya dari Washington ke Baltimore, Maryland.
Sekitar tahun 1860-an, kabel telegraf kekal pertama berjaya diletakkan di Lautan Atlantik. Sebanyak 40 saluran telegraf di Atlantik berjaya ditempatkan menjelang tahun 1940.
Apabila teknologi bertambah baik, telegraf menjadi transponder audio, di mana mesej diterjemahkan berdasarkan selang antara dua klik, bukan seperti rekod dan pita yang digunakan sebelumnya. Pada akhir abad ke 19, teknologi baru semakin mengurangkan penggunaan telegraf dalam kalangan masyarakat dunia.
Pada awal tahun 1860-an, Pony Express muncul sebagai perkhidmatan penghantaran mel di sepanjang Great Plains. Servis ini melibatkan penunggang kuda dan haiwan berkenaan yang bertanggungjawab melakukan kiriman. Pony Express mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana dapat mengurangkan masa kiriman mesej walaupun melibatkan jarak jauh.

Seterusnya, pada tahun 1876, bermulalah era permulaan garis masa telefon oleh Alexander Graham Bell yang terus berkembang hingga kini. Antara jenis telefon yang pernah digunakan adalah berbentuk seperti batang lilin dengan satu bahagian mendengar panggilan sementara satu lagi berfungsi untuk bercakap.
Selain itu, objek komunikasi dengan butang nombor bulat juga terkenal dalam kalangan masyarakat. Pengguna perlu memasukkan jari pada lubang nombor kemudian menariknya mengikut arah membulat. Ia dilakukan sehingga selesai memasukkan kesemua susunan nombor yang ingin dihubungi.
Tidak lama selepas penggunaannya semakin meluas, telefon jenis tekan butang nombor pula diperkenalkan. Pada tahun 1980-an, peranti canggih mula mendapat sambutan selepas jenis telefon mudah alih mula dihasilkan.
Untuk makluman, prototaip awal mesin faks telah wujud sejak tahun 1880-an. Akan tetapi, mereka tidak mencapai kejayaan komersial yang meluas sehinggalah Xerox memperkenalkan Magnafax Telecopier pada tahun 1966. Peranti itu menghantar dokumen versi digital melalui talian telefon dengan satu siri nada dail. Mesin faks membolehkan orang ramai menghantar dokumen di seluruh dunia dalam masa beberapa minit dan menggantikan perkhidmatan kurier serta telegram.
Pada tahun 1990-an, perkembangan telekomunikasi manusia semakin canggih apabila mesej segera atau dikenali sebagai instant messaging (IM) dicipta. Selanjutnya, fasa teknologi baru telah membolehkan masyarakat dunia berhubung melalui pesanan ringkas bermula pada  1992. Sejak itu, hubungan jarak jauh dan dekat lebih rancak dalam berkomunikasi menerusi peranti moden yang semakin hebat dari masa ke semasa.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

