JIKA pernah berkunjung ke Siberia, Rusia, cuba perhatikan gadis-gadisnya yang jelita. Gadis-gadis Siberia juga terkenal dengan kecantikannya dan pandai bergaya. Dikatakan bahawa rahsia kecantikan gadis Siberia ini telah bermula sejak 2,500 tahun dahulu.
Ia berdasarkan penemuan ahli arkeologi yang menemui rahsia kecantikan puteri Siberia yang dikatakan hidup pada zaman tersebut. Penemuan itu menunjukkan bahawa sejak ribuan tahun dahulu, wanita Siberia sudah mementingkan kecantikan.
Rahsia kecantikan puteri Siberia ini telah ditemui ketika ahli arkeologi menjalankan kajian di pergunungan Altai. Di situ mereka telah menjumpai sebuah perkuburan makam diraja yang diselaputi ais.
Hasil proses cari gali, mereka menemui sebuah keranda yang di dalamnya terdapat mumia seorang puteri yang lengkap berpakaian. Mumia ini juga dikenali dengan gelaran ‘Siberian Ice Maiden’ atau ‘Princess of Ukok’.
Ahli arkeologi berpendapat mumia puteri itu tersebut telah meninggal dunia pada usia 25 tahun. Melalui kajian yang dilakukan, turut dikesan kewujudan satu ukiran tatu pada badan mumia tersebut. Walaupun sudah ditinggalkan selama beribu-ribu tahun, tatu itu masih jelas kelihatan pada badannya.


Menurut Profesor Natalya Polosmak dari Institut Arkeologi Akademi Sains Rusia dan Etnografi cawangan Siberia, berdasarkan tatu yang terdapat pada badan puteri tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa semasa hayat hidupnya, beliau gemar bersolek dan memakai perhiasan di bahagian kepala.
Ini berdasarkan terdapat beberapa barang solekan dalam beg kosmetik turut ditemui dalam keranda tersebut. Antaranya ialah berus muka yang dibuat daripada bulu kuda dan juga serpihan pensel celak mata. Selain itu, mereka turut menemui serbuk vivianite, yang berasal dari mineral besi fosfat yang biasanya akan disapukan pada wajah.
Analisis yang dibuat pada pakaian puteri tersebut turut membawa kepada kesimpulan bahawa walaupun masyarakat Pazyryk tinggal di sebelah selatan Siberia, mereka juga didapati mempunyai hubungan diplomatik dengan China, India, Iran dan Mediterranian. Ini berdasarkan pemilihan reka bentuk atau bahan-bahan perwarna yang digunakan adalah berbeza-beza mengikut budaya di sana.

Tambah Profesor Natalya, pakaian puteri tersebut telah dianalisis secara terperinci dan teliti dan mendapati pakaian itu cukup unik. Ini kerana sukar dipercayai bahawa fesyen seumpama itu boleh wujud pada zaman tersebut.
Mumia itu memakai gaun panjang dengan skirt berbulu yang dibuat daripada tiga jalur kain yang melintang. Saiz skirt tersebut adalah 114 sentimeter panjang, 90 sentimeter lebar di bahagian atas dan 112.5 sentimeter di bahagian bawahnya. Setiap jalur tersebut pula mempunyai warna-warna yang berbeza. Skirt tersebut juga turut dihiasi dengan jalinan bulu biri-biri.
Profesor Natalya turut melakukan kajian terhadap warna-warna yang digunakan pada pakaian mumia itu. Ia menunjukkan bahawa pewarna yang digunakan berasal dari Timur Mediterranean atau Iran.
Pada bahagian bajunya pula, terdapat kain sutera dari Assam India dan Asia Tenggara. Uniknya baju tersebut, ia bukan direka oleh pereka tempatan, tetapi merupakan hasil ciptaan pereka dari negara China. Ini berdasarkan rekaan baju itu jelas kelihatan menyerupai reka bentuk baju dari negara China.
Beralih pada bahagian kaki pula, mumia puteri tersebut dilihat memakai sepasang kasut but yang tinggi hingga ke paras lutut. Ia bertujuan menjadi salah satu alat perlindungan daripada cuaca sejuk. Ini kerana pada zaman itu, suhu di pergunungan tersebut pernah mencecah sehingga ke negatif 35 darjah selsius.
Jika dilihat kepada persekitaran di situ, pakaian yang berkain nipis sepatutnya sangat tidak sesuai digunakan ketika itu. Namun, jika dilihat pada sampel mumia ini, kita boleh mengandaikan bahawa kaum wanita Pazyryk ini lebih mementingkan kecantikan berbanding keperluan ketika itu.
Jelas Profesor Natalya, puteri itu juga berada dalam keadaan tidak mempunyai rambut langsung. Ia mungkin dipengaruhi faktor bahawa pada zaman tersebut, sudah menjadi satu budaya bagi golongan wanita untuk mencukur botak rambut mereka.
Kemudian, kepala botak itu akan ditutupi dengan sejenis topi. Menariknya topi tersebut dihiasi dengan rambut palsu yang panjang dan bulu haiwan. Bulu ini merupakan satu simbol dari pohon kehidupan yang merupakan antara kepercayaan masyarakat di Siberia.
Paling mengejutkan, rambut palsu tersebut langsung tidak musnah walaupun sudah berabad-abad lamanya. Rambut palsu yang diibaratkan seperti sebuah mahkota itu berukuran 68,65 sentimeter panjang. Ia diperbuat daripada kain bulu haiwan yang berwarna hitam dengan diletakkan kayu di dalamnya untuk membantu ia berdiri tegak.



_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

