CERITA ini mengisahkan tentang seorang doktor paling dedikasi bernama Karl P. Schmidt, seorang ahli herpatologi terkenal dari Illinois, Amerika Syarikat. Sikap komited terhadap kerjayanya tidak pernah berhenti sekalipun pada saat kematiannya.
Pada September 1957, seorang lelaki dari Lincoln Park Zoo di Chicago datang ke Natural History Museum Chicago, tempat di mana doktor Karl P. Schmidt bertugas. Lelaki itu membawa bersama seekor ular sepanjang 30 inci dan meminta bantuan kepakaran Dr. Schmidt untuk mengenal pasti jenis ular tersebut.
Dr Schmidt yang merupakan seorang ahli herpetologi terus setuju untuk mengambil haiwan tersebut. Beliau mahir dalam mengidentifikasikan ular. Sepanjang kariernya, dia telah menamakan lebih dari 200 jenis spesies haiwan itu. Malah, sebahagian besar ular-ular tersebut diberi nama akhiran Schmidt, sempena nama beliau.

Pada 25 September 1957, Dr. Schmidt mula mengidentifikasikan ular yang dibawa lelaki itu di makmal. Beliau mencatatkan bahawa reptilia yang ditelitinya memiliki kulit berwarna terang, mirip dengan ular Boomslang, spesies ular berbisa yang biasa ditemukan di gurun sub-sahara Afrika.
Kerana mahu melihat lebih dekat karakter spesimen, beliau mengambil ular itu untuk diperiksa dengan lebih teliti. Malangnya, ketika mula memegangnya, ular itu tiba-tiba menggigit ibu jari Dr. Schmidt menyebabkan luka sedalam tiga milimeter.
Dr. Schmidt yang mempunyai pengalaman mengenali pelbagai jenis ular mulanya menyangka gigitan itu tidak berbahaya. Sebab itu dia menolak untuk mendapatkan rawatan perubatan dan meneruskan pekerjaannya seperti biasa sambil menulis nota tentang kesan bisa ular itu terhadap dirinya.
Semua itu dilakukan beliau tanpa menyedari bahawa kematian akan menjemputnya selang 24 jam kemudian. Malah, beliau sempat membuat catatan nota terakhir tentang apa yang dilaluinya.
Berikut antara catatan terakhir Dr. Schmidt selepas digigit ular tersebut :-
Sekitar pukul 4:30 hingga 5:30 petang, Dr. Schmidt memberitahu sedang memandu untuk pulang ke rumah. Ketika ini, beliau mula berasa mual yang teruk tapi tidak muntah. Masuk jam berikutnya, sekitar 5:30 hingga 6:30 petang, seluruh badannya mula terasa sejuk dan menggigil disusuli dengan demam melebihi 39 darjah selsius. Pendarahan membran mukosa pada sebahagian besar dari gusi di dalam mulut bermula sekitar 5:30 petang.
Pada jam 8.30 malam, Dr. Schmidt menjamah dua potong roti susu bakar. Pukul 9:00 malam hingga 12:20 pagi, dia tidur lena. Kemudian bangun buang air kecil sekitar 12:20 pagi. Urinnya didapati mengandungi darah. Mulut juga dilihat berdarah selepas terdapat kesan darah kering pada kedua-dua sudut mulutnya.
Dr. Schmidt bangun untuk minum segelas air kosong sekitar pukul 4:30 pagi, diikuti rasa mual dan muntah-muntah yang teruk. Makanan yang belum sempat dicerna terkeluar semuanya. Namun selepas itu, beliau berasa lebih baik dari sebelumnya dan sambung tidur sehinggalah jam 6:30 pagi.

Setelah bangun sekitar 6:30 pagi, 26 September 1957 – Dr. Schmidt melakukan aktiviti pagi seperti biasa. Sarapan dengan bijirin, telur rebus, roti bakar bersama sos apel dan kopi. Pada waktu ini, suhu badan normal, 37 darjah selsius. Tiada lagi darah dalam urin setiap tiga jam. Namun, mulut dan hidungnya masih berdarah tetapi tidak banyak.
Saat ini, Dr. Schmidt menyangka dirinya sudah mulai pulih. Bagaimanapun, selesai sahaja makan tengah hari sekitar pukul 1:30, Dr. Schmidt dilaporkan muntah dan cuba menghubungi isterinya. Ketika bantuan tiba, beliau ditemukan dalam keadaan berpeluh dan sudah tidak sedarkan diri. Dia kemudian segera dikejarkan ke hospital.
Pada pukul 3:00 petang, Dr. Schmidt disahkan meninggal dunia kerana masalah pernafasan. Hasil autopsi yang dijalankan ke atas mayatnya menunjukkan kegagalan pernafasan adalah berpunca daripada pendarahan pada paru-paru dan bahagian organ lainnya seperti ginjal, usus, jantung, otak serta mata.
Hari ini, nota catatan terakhir Dr. Schmidt telah membantu ramai ilmuwan moden memetakan perkembangan racun ular Boomslang seterusnya menyelamatkan banyak nyawa.
Ular Boomslang merupakan sejenis ular berbiasa dan mampu menggigit sesuatu setebal ibu jari dengan membuka rahangnya seluas sehingga mencapai sudut 170 darjah. Ular jenis ini juga mampu mencetuskan gigitan yang mematikan tanpa tindakan ‘mengunyah’ seperti mana ular-ular lainnya.
Salah satu perkara yang dipelajari daripada tulisan terakhir Dr. Schmidt ialah tentang bahayanya racun hemotoxic. Bisa ini didapati boleh menghancurkan sel-sel darah merah dan mampu memperlambat pembekuan darah. Kematian disebabkan hemotoxic adalah sangat perlahan. Sekiranya tidak diubati, racun itu boleh merosakkan organ dan jaringan dalam badan menyebabkan pendarahan otak serta masalah pernafasan, gejala sama yang mergaut nyawa  Dr. Schmidt.


_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

