MUNGKIN anda pernah melihat video-video di media sosial yang memaparkan pelbagai makanan jalanan di India. Salah satu daripadanya ialah hidangan makan sirih berapi.
Lazimnya, makan sirih adalah satu kebiasaan di negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Namun di India, mereka menikmati sirih sebagai penyegar mulut dengan cara yang unik, atau mungkin kelihatan agak ekstrem di mata orang luar di mana api dihidupkan di atas daun sirih sebelum sirih yang berapi itu dimasukkan ke dalam mulut.
Sirih atau Paan dalam bahasa Hindi merupakan pemanis atau penyegar mulut yang terbuat daripada gabungan daun sirih bersama pinang. Kadangkala, tembakau juga digunakan dalam membuat Paan ini. Sirih ini kemudiannya dikunyah untuk mendapatkan efek rangsangan dan psiko aktif pada tubuh.

Secara umum, mengunyah Paan bukan sahaja popular di India, bahkan juga di beberapa buah negara Asia seperti Myanmar, Bangladesh, Kamboja, Kepulauan Solomon, Thailand, Filipina, Laos dan Vietnam. Malaysia dan Indonesia turut tidak terkecuali menggemari kudapan sirih ini.
Catatan sejarah mengungkapkan bahawa sirih pinang telah menjadi simbol budaya Melayu. Di Kepulauan Melayu pada masa itu, mengunyah sirih merupakan aktiviti biasa dan ia dihormati dalam budaya tempatan. Peralatan sirih pinang yang lengkap disebut Tepak Sirih turut digunakan pada banyak acara formal seperti perkahwinan, kelahiran, kematian dan penyembuhan.
Umumnya cara penyediaan sirih di Malaysia dan negara-negara lainnya adalah sama di mana hirisan buah pinang dan sedikit kapur dibungkus dengan daun sirih sebelum dikunyah.
Namun, seiring dengan peredaran zaman, pembuatan Paan di India turut mengalami perubahan. Di New Delhi misalnya, Fire Paan atau Paan Api menjadi kegemaran ramai. Secara dasarnya, Fire Paan sama seperti sirih lain iaitu menggunakan buah pinang dan kapur yang dibalut dengan daun sirih. Cuma yang membezakannya adalah daripada segi cara penyediaan dan bahan tambahan yang digunakan.
Fire Paan dikatakan memiliki rasa yang unik. Ini kerana, di samping mengekalkan bahan asal, ia turut menggabungkan bahan-bahan tambahan seperti rempah-ratus, buah kering, kekacang, gula, coklat dan kismis.

Seorang pengusaha di Dhaka bernama Jalil menceritakan, dia mempelajari teknik membuat Paan dari India dan mulai menjualnya dengan menambah lebih 20 bahan lain ke dalam Paan biasa. Dia mengakui resepi ciptaannya itu ternyata berhasil dan jualannya mendapat permintaan tinggi.
Ujarnya, kesemua bahan itu akan dibungkus ke dalam daun sirih lalu dibakar. Dalam keadaan api masih menyala, Fire Paan akan disuapkan terus ke dalam mulut pelanggan yang harus segera menutup mulut bagi mengelakkan kesan terbakar.
Walaupun kelihatan agak mengerikan, namun ramai pejalan kaki dilihat sanggup beratur panjang demi menikmati snek ringan tersebut dan mengakui ia hidangan yang enak.
Masyarakat tempatan di sana juga percaya bahawa daun sirih memiliki kuasa penyembuh di mana dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti batuk dan sakit kepala. Menurut perubatan tradisional Ayurveda, mengunyah daun sirih merupakan ubat paling berkesan untuk menghapuskan bau mulut.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini pengambilan sirih semakin dilarang selepas banyak kajian mengungkap kesan sampingan yang tidak baik untuk kesihatan. WHO (World Health Organization ) sebelum ini pernah mendedahkan bahawa sirih dan pinang berisiko menyebabkan kanser kepada manusia.
Pada tahun 2009, IARC (International Agency for Research on Cancer) juga pernah mendedahkan bahawa tabiat mengunyah sirih atau Paan, walaupun tanpa tembakau berisiko menyebabkan tumor di rongga mulut dan kerongkong.
Ada kajian juga melaporkan bahawa wanita mengandung yang mengunyah formulasi pinang seperti Paan berisiko menjejaskan bayi dalam kandungan mereka. Kesannya juga dikatakan sama seperti wanita yang meminum alkohol atau memakan tembakau selama kehamilan.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

