DEMI memastikan tubuh badannya sentiasa dalam keadaan sihat, selebriti Scha Alyahya tidak pernah culas untuk melakukan pemeriksaan kesihataan pada setiap tahun.
Jelas Scha atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya,39, penting untuk dia mengetahui tahap kesihatannya memandangkan kerjaya seorang anak seni memerlukan tenaga yang banyak.
“Setiap tahun saya tak akan lupa buat ‘appoinment’ bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.
“Hasil daripada pemeriksaan itulah nanti saya akan tahu keadaan badan saya ini mungkin ada masalah lain atau kekurangan zat.
“Sekurang-kurangnya bila saya tahu ada masalah atau sebagainya, saya boleh mencegah lebih awal,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran Nestle’s Harvest Gourmet di Bangsar South, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Scha yang juga isteri kepada pengacara dan pelakon Awal Ashaari ini mengakui bukanlah seorang yang mudah percaya kepada keberkesanan pengambilan pil suplemen.
Kata Scha lagi, melihat ibunya yang sudah lima tahun menjalani dialisis akibat penyakit buah pinggang, membuatkan dia berkira-kira untuk mengambil pil tambahan sebelum mengetahui isi kandungannya.
“Saya memang takut nak ambil sebarang ubat-ubatan atau pil suplemen. Ibu saya dah lima tahun menjalani rawatan dialisis disebabkan masalah buah pinggang.
“Apa yang masuk dalam badan saya, saya memang cerewet. Apatah lagi kalau saya demam, saya takut nak makan ubat.
“Saya pun tidaklah percaya bulat-bulat kepada pengambilan suplemen sebelum tahu kesahihan isi kandungannya,” ujarnya.
Justeru, Scha amat menitikberatkan pengambilan makanan dengan diet yang betul selain melakukan senaman yang bersesuaian.
Jelasnya, amalan gaya hidup sihat dengan tidak bergantung kepada makanan tambahan dalam bentuk suplemen amat digalakkan.
“Saya ada ambil multivitamin, prebiotik, vitamin C yang dibenarkan. Tetapi saya akan seimbangkan, contohnya ada suplemen yang dimakan pada waktu pagi dan selebihnya pada waktu malam.
“Sebenarnya tak bagus kalau badan kita terlalu bergantung kepada suplemen. Seloknya seimbangkan dengan diet, senaman serta amalan gaya hidup sihat.
“Saya ambil suplemen pun selepas mendapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan sebab saya tak nak lah ia akan memberi kesan mudarat pada kesihatan saya,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

