PADA tahun 1994, sebuah pesawat penumpang menuju ke Itali telah ‘hilang’ dari radar pengesan apabila ia memasuki ruang udara negara Afrika. Ketika semua petugas menyangka pesawat tersebut telah terhempas, secara tiba-tiba ia muncul kembali di ruang udara yang sama, pada kedudukan koordinat yang sama sebelum ia hilang.
Kejadian itu mengejutkan banyak pihak terutamanya para petugas menara kawalan. Pada mulanya mereka menganggap ia berlaku disebabkan oleh kerosakan teknikal radar pengesan. Tetapi, apabila pesawat itu muncul kembali 20 puluh minit kemudian pada kedudukan koordinat yang sama, mereka yakin ada sesuatu yang tidak kena.
Dalam jangka waktu 20 minit, jika diambil kira faktor kelajuan sesebuah pesawat, sepatutnya kedudukan koordinat akan berubah dalam skala yang agak besar. Tetapi apabila ia kembali dikesan berada di kedudukan koordinat yang sama, perkara ini menjadi sesuatu yang sukar untuk dijelaskan.
Pesawat tersebut selamat sampai ke destinasinya tanpa sebarang masalah. Namun, apa yang anehnya ialah, kesemua krew dan 315 penumpangnya langsung tidak menyedari yang mereka pernah hilang seketika ketika berada di udara.
Apabila perkara ini disampaikan kepada kapten pesawat, mereka menyanggahnya dan menganggap ia adalah sesuatu yang karut. Perjalanan yang diharungi tidak mengalami sebarang masalah teknikal atau perkara yang pelik-pelik, masakan mereka boleh dikatakan hilang seketika?
Namun, apa yang menjadi misteri dan membuatkan kesemua penumpang dan krew kapal percaya yang mereka telah ‘hilang’ ialah jam di tangan masing-masing telah terlewat selama 20 minit daripada waktu sebenar. Ia adalah jangka waktu yang sama dengan tempoh pesawat itu dikatakan telah hilang.

Pada tahun 1970, kejadian yang serupa juga turut dilaporkan pernah berlaku. Ketika itu, sebuah pesawat penumpang Boeing 727 yang dalam perjalanan ke Miami, Amerika Syarikat turut dilaporkan hilang seketika di ruang udara. Sepuluh minit kemudian, pesawat itu muncul kembali di lokasi yang sama di mana ia dilaporkan hilang.
Apa sebenarnya yang telah berlaku? Di manakah pesawat-pesawat itu berada ketika ia dikatakan telah hilang selama beberapa minit?
Perkara ini terlalu sukar untuk dijelaskan dan ia seperti telah melanggar hukum semula jadi alam. Apa yang membingungkan ialah, pesawat-pesawat itu seolah-olah berada dalam satu ruang lingkup atau dimensi lain yang tidak dipengaruhi oleh masa nyata. Ataupun, satu lagi penjelasan yang memungkinkan perkara itu berlaku ialah pesawat-pesawat tersebut melalui fasa waktu yang tidak bergerak. Dengan kata lainnya, masa dalam ruang lingkup pesawat telah terhenti pada ketika itu.
Dalam sains fizik menyatakan, masa sebenarnya boleh terhenti dalam sesuatu keadaan tertentu dan ia mempunyai kaitan yang rapat dengan teori kerelatifan Albert Einstein.

Sekalipun masa bergerak dalam keadaan linear, tetapi ia masih mampu dipengaruhi oleh dua perkara iaitu kelajuan dan graviti. Apabila dipengaruhi oleh dua faktor ini, perkara tersebut dinyatakan sebagai kerelatifan masa. Malah, susunan masa untuk sesuatu peristiwa juga mampu berubah, sehingga menyebabkan masa boleh terhenti.
Perkara ini bukan sesuatu khayalan, tetapi telah pun dibuktikan secara saintifik. Sebagai contoh, salah satu uji kaji yang pernah dijalankan oleh saintis ialah perbandingan dua buah jam atom yang diletakkan secara berasingan. Satu jam atom diletakkan di atas pesawat penerbangan dan satu lagi pada kedudukan paras laut. Apa yang didapati ialah, jam atom di atas pesawat berdetik dengan kadar yang lebih perlahan kerana dipengaruhi oleh kelajuan. Bagaimanapun, perubahan itu berlaku pada kadar yang sangat kecil.
Satu lagi bukti saintifik yang menunjukkan wujudnya kerelatifan masa ialah kewujudan zarah sub-atom. Sesuatu zarah sub-atom yang bergerak biasanya mempunyai jangka hayat tertentu yang sekata. Tetapi, apabila kelajuannya ditingkatkan menghampiri kelajuan cahaya, tempoh hayatnya menjadi lebih panjang. Ini menunjukkan secara jelas, kelajuan sememangnya mampu untuk mempengaruhi pergerakan masa. Malah, semakin tinggi kelajuan, semakin besarlah kerelatifannya.
Selain itu, ruang masa juga merupakan satu entiti yang mana salah satu sifatnya boleh dibengkokkan atau dilengkungkan oleh medan graviti. Perkara ini juga telah dibuktikan secara saintifik menggunakan jam atom, yang mana jam tersebut akan berdetik dengan lebih laju pada paras kedudukan yang lebih tinggi.
Dengan kata lain, kekuatan graviti akan menyebabkan wujudnya kerelatifan masa dan teori yang dikemukakan ialah semakin kuat tarikan graviti, maka semakin besarlah kerelatifan yang berlaku. Malah, masa dengan sendirinya akan terhenti seandainya kita berada pada satu lokasi yang mempunyai daya tarikan graviti yang sangat kuat seperti di lohong hitam.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

