BAYANG HIROSHIMA | Kesan hitam pada tangga bank dari jasad yang lebur, dipelihara untuk mengenang tragedi pahit ledakan peperangan

Dari Penulis

PADA 6 Ogos 1945 sekitar pukul 8.15 pagi, sebutir bom atom digelar ‘Little Boy’ digugurkan pesawat pengebom Amerika Syarikat B-29. Bandar Hiroshima di Jepun menjadi lokasi bom itu digugurkan.

Sekelip mata bom itu gugur ke bumi, mengakibatkan letupan besar yang memusnahkan bandar Hiroshima. Impak letupan itu telah menyebabkan puluhan ribu nyawa terkorban.

Tragedi hitam itu menjadi sejarah pahit yang terus dikenang sehingga kini meskipun peristiwa tersebut sudah hampir lapan dekad berlalu. Selain Hiroshima, bandar perindustrian Nagasaki turut mengalami nasib sama apabila pesawat pengebom B-29 telah menggugurkan bom atom ‘Fat Man’ pada hari ketiga selepas bandar Hiroshima di bom.

Sekelip mata bandar Hiroshima musnah dibom.

Ledakan bom bersamaan 21 kilogram tan TNT itu telah menyebabkan kematian hampir 75,000 daripada 240,000 orang penduduk di Nagasaki. Difahamkan, angka kematian dilaporkan meningkat pada akhir tahun 1945 yang mencatatkan sebanyak 80,000 orang.

Di sebalik peristiwa pengeboman dua buah bandar ini, terselit sebuah kisah yang sangat menyedihkan. Ia berkisarkan tentang satu kesan hitam di bahagian tangga, berdekatan laluan masuk utama sebuah bank dikenali Sumitomo Bank. Difahamkan, ia wujud sewaktu operasi menyelamat  di bandar Hiroshima.

Kesan hitam di tangga bank.

Sebenarnya, kesan hitam itu merupakan tanda daripada salah seorang mangsa pengeboman tersebut. Berkemungkinan besar individu yang terkorban itu ialah seorang lelaki dewasa. Pengesahan jantina individu tidak dikenali itu dibuat berdasarkan penelitian lanjut ke atas kesan hitam berkenaan yang memiliki bentuk seperti seorang manusia.

Walau bagaimanapun, identiti lengkap mangsa masih kekal misteri sehingga hari ini. Ia suatu keadaan sukar bagi pasukan penyelamat untuk mengenal pasti latar belakang mangsa tersebut. Ini kerana jasad individu itu hancur lebur dek kesan letupan tahap tinggi yang dicetuskan bom tersebut.

Namun, terdapat satu teori dikemukakan mengenai kesan hitam berkenaan. Sesetengah pihak mendakwa, mangsa berkemungkinan sedang berdiri di situ menunggu bank dibuka. Apa yang pasti, individu ini langsung tidak menyedari bahawa kejadian buruk bakal menimpanya sebentar lagi (bom atom akan digugurkan).

Di samping itu, wujud sumber laporan lain mengatakan, lokasi mangsa tidak jauh dengan tempat bom atom ‘Little Boy’ digugurkan. Difahamkan, bahan letupan berkenaan disasarkan pada salah sebuah tempat sejauh 250 meter dari kedudukan bangunan bank  Sumitomo ( okasi mangsa berada).

Oleh sebab jarak kedudukan terlalu dekat, mangsa maut serta-merta di tempat kejadian. Tambahan pula, kadar sinaran haba yang terhasil akibat ledakan bom pada suhu 1000 hingga 2000 darjah Celsius menyebabkan badan mangsa terbakar hangus tanpa meninggalkan sebarang jasad. Cuma apa yang tinggal hanya kesan hitam berupa bayang-bayang seorang manusia.

Jasad individu ini lebur kerana kesan bom. Yang tinggal hanyalah bayang-bayang hitam ini.

Sepuluh tahun selepas peristiwa pengeboman itu, kesan hitam tersebut dikatakan masih jelas kelihatan. Namun, disebabkan faktor cuaca tanda gelap berkenaan semakin pudar. Sedar akan keadaan itu, pihak pemerintah Jepun mengambil inisiatif memulihara dan memindahkan ia ke sebuah tempat selamat.

Tanda hitam berupa bayang-bayang itu disimpan dan dipamerkan di Muzium Peringatan dan Kedamaian yang terletak di bandar Hiroshima. Secara tidak langsung, ia menjadi tanda peringatan betapa dahsyatnya peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945.

Sumitomo Bank, selepas insiden pengeboman Hiroshima. Di kaki tangga bank ini bayang-bayang hitam itu dikesan.
Kesan bayang hitam itu dipindahkan dan kini dipamerkan di muzium di Hiroshima.

_____


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This