Cuci Tangan Hapuskan Rasa Bersalah
Selain berupaya membersihkan tangan daripada bakteria, mencuci tangan dengan sabun turut dapat mengurangkan rasa bersalah yang bersarang dalam diri individu. Artikel dalam laman web Softpedia menjelaskan bahawa selain membersihkan sisa fizikal, mencuci tangan juga mampu membersihkan fikiran individu dan dapat menyingkirkan segala perasaan negatif yang terdapat dalam diri.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Current Directions terbitan Association for Psychological Science’s (APS) itu turut disokong oleh Spike W.S.Lee dan Profesor Norbert Schwarz dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat, yang menyatakan bahawa ritual keagamaan seperti membasuh tubuh demi kesucian amat mujarab dari segi psikologi.
Namun begitu, kesan itu hanya akan dirasai apabila individu mencuci tangan mereka di tempat bersih yang turut berupaya menenangkan fikiran individu berbanding jika mereka membersihkan tangan di kawasan kotor.

Pil Perancangan Timbulkan Rasa Cemburu
Pengambilan pil perancang mampu menimbulkan perasaan cemburu pada wanita. Kajian Universiti Stirling, Scotland, menemui bahawa wanita yang mengambil pil perancang cenderung untuk bersikap mengongkong dan cemburu.
Kajian yang dilakukan ke atas 3.5 juta orang wanita Inggeris yang berusia di antara 16 hingga 49 tahun mendapati bahawa pengambilan pil perancang berupaya meningkatkan kadar hormon estrogen dalam diri wanita sehingga mampu menimbulkan sikap-sikap negatif dalam diri.
Dimuatkan dalam jurnal Personality and Individual Differences, kajian pimpinan Dr. Craig Roberts itu turut menyatakan bahawa rasa cemburu yang dialami menjadi semakin tinggi jika pil perancang yang diambil mengandungi kadar estrogen dan progesteron sintetik yang banyak.

Makanan Ringan Punca Lelaki Tak Subur?
Menurut satu kajian yang pernah dijalankan di Amerika Syarikat dan Sepanyol, makanan ringan terutamanya yang mengandungi lemak boleh menjejaskan kualiti sperma dalam kalangan lelaki pada usia muda.
Kajian yang dijalankan ke atas sperma lelaki berusia 18 hingga 22 tahun mendapati lelaki yang mengamalkan pemakanan tidak berkhasiat mempunyai kualiti sperma yang rendah walaupun aktif bersenam dan mempunyai berat seimbang.


