Sebagaimana yang dijelaskan dalam artikel sebelum ini berkaitan hukum mendukung anak ketika solat, maka adalah lebih baik, sebelum menunaikan solat dapat dipastikan dahulu sama ada lampin anak tersebut dalam keadaan bersih atau telah disalin terlebih dahulu. Hal ini kerana solat beserta najis adalah batal. Dalam sebuah hadis, Abu Said al-Khudri meriwayatkan,
“Ketika Nabi s.a.w solat bersama para sahabat, Baginda menanggalkan selipar dan meletakkan di sebelah kiri. Apabila melihat keadaan demikian, para sahabat pun menanggalkan selipar mereka. Apabila selesai solat, Nabi s.a.w bertanya, mengapakah kamu menanggalkan selipar kamu? Mereka menjawab: Kami melihat engkau menanggalkannya, jadi kami pun berbuat demikian. Lalu Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan memberitahuku bahawa ada kotoran (najis) pada selipar ku.” (HR Abu Daud).
Artikel berkaitan: Bolehkah solat sambil mendukung anak
Hadis ini membuktikan, suci dari najis adalah syarat sahnya solat. Malah ia lebih jelas, jika bertindak dengan segera untuk membuang penanggungan terhadap najis, maka solat tidak terbatal sebagaimana dengan segeranya Rasulullah membuang seliparnya yang terdapat najis. Begitu juga dengan situasi jika anak kecil yang menanggung najis duduk di atas riba tetapi dengan pantas dapat dielakkan, maka solat tidak akan batal.
Sekiranya anak itu memakai lampin yang bernajis sekalipun ia kencing dalam lampin, maka ia membatalkan solat sekiranya tidak segera mengangkat anak tersebut. Justeru, solat boleh terbatal sekiranya menanggung anak yang bernajis sama ada dengan mendukungnya atau ia memanjat belakang semasa sujud atau ia duduk di atas riba semasa kita sedang duduk tasyahhud akhir.
Akan tetapi menurut Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Shauqi Othman, tidak membatalkan solat jika anak yang menanggung najis di dalam lampin atau belum bersunat bersentuhan dengan orang dewasa yang sedang solat. Keadaan yang seperti ini ada disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam Rawdah at-Tolobin dengan katanya,
“Sekiranya (seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasadnya seperti kanak-kanak ) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka tidak batal solatnya.”
Perlu difahami, bersentuh itu tidak secara langsung dengan najis yang ditanggunginya. Jika secara langsung batallah solat seseorang tetapi tidak batal wuduknya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tidak perlu mengambil wuduk yang lain.
Bersentuh secara tidak langsung dengan budak yang menanggung najis seperti memegang anggota tubuhnya seperti telapak tangan atau menyentuh pakaian, tidak menimbulkan sebarang masalah kerana kanak-kanak tersebut hanya menanggung najis bukannya najis sehingga tidak boleh disentuh sama sekali.
Mengikut mazhab Syafie, sememangnya tidak sah jika solat dalam keadaan mendukung anak yang membawa najis, seperti berbau tahi atau air kencing di dalam lampinnya.
Namun sekiranya najis yang terdapat pada bayi yang didukung itu tidak nyata terhadap ibu seperti tidak berbau atau tidak kelihatan kerana sangat sedikit sehingga tidak dirasakan kewujudannya, maka solat si ibu sah tanpa khilaf di kalangan ulama. Bagaimanapun, demi kesempurnaan solat, haruslah dielakkan perkara yang boleh mendatangkan waswas dan kekeliruan.
Jamak dan qada solat untuk jaga anak?
Menjawab persoalan ini, tegas Dr. Shauqi, hukumnya berdosa. Meninggalkan solat hanya kerana sibuk menguruskan anak kecil, tergolong di dalam perbuatan yang ditegah. Keperluan menjaga anak bukanlah suatu alasan untuk meninggalkan kewajipan solat. Perlu ingat, agar tidak menjadikan urusan anak sebagai alasan meninggalkan perkara yang telah difardukan oleh Allah.
Solat mesti dilakukan dalam waktunya, dan tidak boleh dengan sengaja memindahkannya ke waktu yang lain sebagaimana firman Allah,
“Celakalah orang yang solat, iaitu yang lalai daripada solatnya.” (Surah al-Ma’un: 4-5).
Terangnya,maksud lalai daripada solat ialah sengaja melengahkan menunaikan solat sehingga terkeluar dari waktunya. Inilah perbuatan golongan munafik.
Qada solat adalah wajib bagi solat fardhu yang ditinggalkan dengan tidak sengaja atau pun lupa. Firman Allah Taala,
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah Al-Nisa’: 103).
Solat tidak boleh dijamakkan ke waktu lain dengan sewenang-wenangnya kecuali dengan rukhsah yang ditetapkan seperti musafir, hujan dan lain-lain. Alasan untuk menjaga anak tidak mewajarkan seseorang itu menjamakkan atau qada solatnya. Jika masih menghadapi masalah mengenai penjagaan anak, boleh melewatkan waktu Zohor sebelum Asar, dan solat Asar pada permulaan waktunya asalkan masih dalam waktunya. Wallahu a’lam
___________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

