Apakah solat Istikharah perlu dalam kehidupan?

Dari Penulis

Imam Bukhari sekalipun telah mencapai darjat mujtahid mustaqil iaitu bebas untuk berijtihad tanpa terikat dengan pegangan mana-mana mazhab, tidak pernah ambil mudah dalam usaha-usaha pengumpulan hadis sahih dilakukan. 

Diceritakan, setiap hadis yang dikumpulkan tidak akan dimuatkan di dalam kitab susunannya sehingga dia pasti dan yakin, petunjuk yang diberikan oleh Allah kepadanya. Bagaimana caranya? Beliau akan melakukan solat sunat istikharah kerana baginya hanya dengan beristikharah maka dia akan mendapat jawapan yang pasti. 

Imam Bukhari pernah berkata kepada salah seorang anak muridnya, al-Firbari,

“Aku menyusun kitab al-Jami’as-Sahih ini di Masjidilharam, Mekah. Aku tidak mencantumkan satu hadis pun kecuali selesai menunaikan solat istikharah dua rakaat, memohon pertolongan daripada Allah dan selepas benar-benar yakin hadis itu sahih.” 

Begitulah hebatnya istikharah di sisi imam Bukhari yang menyifatkan hidayah Allah yang diperoleh dari solat istikharah adalah jawapan serta keputusan yang tepat. Bahkan sepanjang usaha pengumpulan hadis-hadis sahih berkenaan, Imam Bukhari pernah bermimpi bertemu dengan Rasulullah. Lalu mimpinya itu telah ditafsir oleh seorang pentafsir mimpi yang menyifatkan Bukhari adalah seorang yang menghancurkan serta mengikis lambakan hadis-hadis palsu yang ada.

Apa pun apakah setiap istikharah itu akan berakhir dengan mimpi? Dan bagaimana pula mahu dipastikan bahawa hidayah itu adalah petunjuk daripada Allah? Menjawab persoalan ini, pendakwah bebas merangkap Pengetua Pusat Pendidikan al-Barakah, Mohd Kazim Elias, setiap istikharah tidak semestinya berakhir dengan mimpi. Dengan erti kata lain, mimpi hanyalah satu daripada banyak lagi petunjuk-petunjuk yang Allah berikan.

Mohd Kazim mengakui, ramai yang tidak faham bagaimana melakukan solat ini dengan betul. Lantas, tidak hairanlah jika jawapan yang diterima ada kalanya tidak sebagaimana yang diharapkan. Justeru ada yang sampai menyalahkan takdir Allah.

Ini tidak sepatutnya berlaku. Mereka sebenarnya tidak faham bagaimana bentuk petunjuk yang Allah berikan. Satu lagi salah faham masyarakat tentang solat istikharah apabila ia hanya dilakukan kiranya ada dua pilihan. Itu juga tidak betul. Jika hanya satu pilihan pun boleh juga buat istikharah.   

Begitu juga, petunjuk pada solat istikharah itu tidak akan berlaku jika seseorang itu telah dari awal menetapkan pilihannya. Sebaliknya, ketika membuat solat berkenaan, jiwa seseorang harus kosong dari terikat dengan apa-apa keputusan yang  telah dibuat. 

Seperkara lagi, solat istikharah tidak semestinya dilakukan hanya oleh orang yang meminta petunjuk terhadap sesuatu perkara. Sebaliknya, ia turut dilakukan oleh ahli keluarga terdekat seperti, ibu, bapa serta adik-beradik yang lain.   

Apa pun solat istikharah hanya dilakukan pada perkara yang harus dan bukannya sunat mahupun wajib.  Imam ibn Hajar al-A’sqalani dalam Fathul Bari ada menyatakan, telah berkata  ibn Abi Jamrah,

“Ia adalah umum dan dikehendaki dengannya khusus. Maka sesungguhnya perkara yang hukumnya wajib dan sunat tidak perlu dilakukan istikharah pada mengerjakan kedua-duanya, ada pun bagi perkara-perkara yang haram dan makruh juga tidak perlu dilakukan istikharah dalam meninggalkan kedua-duanya, maka bahawasanya solat istikharah hanya tertentu kepada perkara yang harus sahaja.”

Namun beristikharah sesuatu yang amat digalakkan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,

“Dari kebahagiaan seseorang anak Adam adalah mereka yang sentiasa beristikharah kepada Allah Taala, dari kebahagiaan anak Adam juga, mereka yang sentiasa reda dengan setiap ketentuan Allah baginya. Ada pun dari kecelakaan anak Adam adalah meninggalkan beristikharah kepada Allah Taala, dan dari kecelakaan anak Adam juga adalah tidak berpuas hati dengan setiap ketentuan Allah baginya.” (HR Imam Tarmizi).

Allah turut berfirman dalam surah al-Baqarah:216

“…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Perkara yang perlu dilakukan selepas solat istikharah

* Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkaar berkata: “Maka hendaklah dia memilih perkara yang dia merasa lapang dadanya pada perkara tersebut”.

* Imam Izzuddin Abdul Salam berkata: “Lakukanlah apa yang muafakat dengan dirinya (kecenderungan hatinya)”.

* Imam ibn Hajar al-A’sqalani menyebut : “Apa yang muktamad adalah janganlah seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang padanya didorong oleh hawa nafsu walaupun dia merasa lapang dadanya dengan melakukan perkara tersebut sebelum dia beristikharah”.

Adab beristikharah

1. Hendaklah mengosongkan hatinya daripada mengikut hawa nafsu dalam pilihannya.

2. Mestilah menyerahkan sepenuh pilihannya kepada pilihan Allah dan tidak ada sedikit pun pergantungan pada perkara-perkara lain melainkan hanya sebagai asbab musabbab dan wasilah dalam menyampaikan hajatnya.

3. Hendaklah sentiasa reda kepada Allah dengan setiap yang ditakdirkan.

4. Sentiasa merasakan hasil dari istikharah itu, bimbingan daripada Allah.

5. Beristikharah kepada Allah dengan hati yang penuh sedar, yakin dan thiqah (percaya) bahawa Allah akan memakbulkan setiap pilihan dan memberi jawapan yang terbaik. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This