Sukar untuk percaya lebih 7 bilion manusia di atas muka bumi ini berkongsi nenek moyang yang sama. Lihat pada bentuk fizikal manusia memang berbeza dari segi rupa, warna kulit, bentuk badan, saiz, bahasa, suku kaum dan tinggal di benua yang berlainan iklim serta rupa muka buminya. Mustahil! Memang sukar untuk mempercayainya namun itulah yang Allah jelaskan di dalam Al-Quran surah An-Nisaa; 1,
“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya (isterinya-Hawwa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
Ibnu Katsir mengatakan, Allah menciptakan manusia dari satu jiwa iaitu Adam dan daripadanya diciptakan Hawwa. Allah ciptakan Hawwa daripada tulang rusuk kiri Adam sewaktu beliau sedang tidur.
Ketika terjaga dari lenanya dan melihat Hawwa yang amat menakjubkan maka terbitlah rasa cinta, kasih sayang antara kedua-duanya. Hal yang sama diungkapkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim,
“Wanita diciptakan dari tulang rusuk. Dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Jika dipaksakan untuk meluruskannya maka engkau akan mematahkannya. Jika engkau bersenang-senang dengannya maka bersenang-senanglah dengannya namun padanya tetap ada kebengkokan.”
“Dan daripada keduanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”
Ibnu Katsir di dalam tafsirnya berkata, Allah lahirkan dari kedua-duanya, lelaki dan perempuan yang banyak serta tersebar di seluruh pelosok dunia berbeza sifat, warna (kulit), suku kaum dan bahasa. Setelah itu, hanya kepada-Nya tempat kembali dan tempat berkumpul.
Allah telah menerangkannya dengan jelas di dalam al-Quran tentang manusia semuanya berasal dari satu ibu dan bapa yang sama. Malah agama Kristian dan Yahudi juga mengakuinya bahawa manusia berasal dari Adam dan Hawwa. Kita akan lihat nanti bagaimana sains membuktikan bahawa semua manusia di muka bumi berasal dari Adam dan Hawwa.
National Geographic pernah melancarkan Genographic Project pada 2003 diketuai oleh pakar genetik Spencer Wells, mencari Adam manusia pertama. Kajiannya mengambil masa lima tahun mengumpulkan data DNA dari sepuluh pusat kajian di seluruh dunia termasuklah orang asli Australia, puak chukchi tundra di Siberia, petani di pergunungan Afghanistan dan nomad di gurun Afrika.
DNA ada cerita yang menarik tentang perjalanan hidup manusia. Ia menceritakan segala-galanya, benarkah semua manusia di seluruh dunia berasal daripada nenek moyang yang sama dan bagaimana nenek moyang kita berhijrah dari satu tempat ke satu tempat lain.
Dengan menganalisis perubahan genetik pada kromosom Y dari pusat kajian di seluruh dunia, Wells mendapati semua manusia yang hidup pada hari ini berasal dari seorang moyang yang sama iaitu Adam di Afrika Timur.
Menurut saintis, setiap orang di muka bumi ini boleh mengesan secara terperinci asal usul nenek moyang mereka hingga sampai kepada Adam dan Hawwa. Manakala menggunakan mitochondrial DNA (mitochondrial Hawwa) yang diwariskan daripada ibu kepada anak perempuan mengesahkan bahawa kita semua berasal dari seorang perempuan iaitu Hawwa.
Begitu juga halnya dengan kajian pada kromosom Y yang diwariskan oleh bapa kepada anak lelaki juga memberikan keputusan yang sama bahawa bapa seluruh manusia di dunia ini adalah Adam. Wallahu a’lam
___________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

