PADA 13 Julai 1978, Anatoli Bugorski, seorang saintis fizik nuklear di Rusia meneruskan tugasnya sebagai seorang penyelidik di Institut Fizik Tenaga Tinggi di Protvino, Rusia. Dia merupakan salah seorang penyelia yang ditugaskan untuk mengendalikan sebuah mesin pemecut zarah terbesar kerajaan Soviet, U-70 Sinkrotron.
Namun, pada hari itu mesin yang dikendalikannya mempunyai masalah. Bugorski cuba memeriksa sekeliling mesin untuk mencari punca masalah yang menyebabkan mesin pemecut zarah itu tidak berfungsi.
Selepas beberapa minit melakukan pemeriksaan, Bugorski mengesan sekeping plat besi telah tertanggal dan ia merupakan komponen penting mesin berkenaan. Dia cuba untuk membetulkannya tanpa sebarang prosedur keselamatan yang sepatutnya.
Semasa Bugorski menundukkan kepala untuk meninjau keadaan mesin tersebut, ketika itulah kepalanya tersangkut pada bahagian pemacu proton. Dalam tempoh kurang dari sesaat, satu cahaya yang sangat terang tiba-tiba muncul dan telah menembusi tengkorak lelaki ini.
Cahaya yang terhasil daripada pecutan proton itu mempunyai tahap kecerahan yang sangat tinggi, iaitu seribu kali ganda lebih terang daripada cahaya matahari. Ia telah menembusi kepala lelaki ini melalui bahagian pipi dan tembus ke bahagian belakang.

Pada peringkat awal, beliau langsung tidak mengalami sebarang kesakitan. Apa yang dirasakan hanyalah pancaran cahaya yang sangat menyilaukan mata dan dia masih mampu untuk meneruskan kerjanya. Disebabkan itu, Bugorski langsung tidak menceritakan tentang kemalangan tersebut kepada sesiapa termasuklah rakan sejawatnya.
Namun, dua hari kemudian sesuatu yang aneh mula berlaku. Wajah Bugorski mulai sembap. Kulit mukanya menggelupas, terutamanya pada bahagian yang terdedah kepada cahaya. Keadaan itu menunjukkan seolah-olah wajahnya telah dibakar oleh sesuatu.
Ketika itulah rahsia tentang kemalangan partikel cahaya itu mula terbongkar. Orang-orang yang bekerja di sekelilingnya mula panik kerana kemalangan melibatkan partikel proton adalah sesuatu yang sangat bahaya. Bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku, pihak Kesatuan Soviet kemudiannya telah membawa lelaki ini ke Moscow untuk rawatan lanjut.
Di Moscow, doktor yang merawat Bugorski mengesahkan kulit-kulit tisu di bahagian kepala, terutamanya tisu yang melindungi otak telah pun rosak. Dia dipercayai telah terdedah kepada sinaran radiasi yang terlalu tinggi, yang biasanya akan membunuh seseorang dengan serta-merta.
Ketika itulah pasukan perubatan mengesahkan Bugorski tidak mampu untuk terus hidup kerana keadaannya sudah teruk. Doktor juga memberi gambaran bahawa lelaki ini hanya mampu hidup dalam jangka masa beberapa hari sahaja lagi.

Namun, setelah seminggu mendapatkan rawatan, sesuatu yang menakjubkan berlaku. Bugorski seolah-olah semakin pulih daripada keadaan yang nazak. Selepas hampir sebulan mendapatkan rawatan, pasukan perubatan mengesahkan bahawa Bugorski telah terselamat daripada satu kemalangan yang sepatutnya meragut nyawa saintis muda ini.
Bugorski bukan saja semakin pulih, apa yang menakjubkan ialah keupayaan intelektualnya masih sama seperti dahulu. Hanya pendengaran di bahagian telinga kirinya tidak lagi berfungsi kerana separuh mukanya lumpuh disebabkan oleh kerosakan saraf. Dalam masa yang sama, dia turut mengalami kekejangan otot akibat sawan separa kompleks.
Selepas kemalangan itu, dia masih meneruskan khidmatnya dalam bidang sains dan dilantik ke jawatan Penyelaras Eksperimen Fizik. Disebabkan dasar Kesatuan Soviet yang mengekalkan kerahsiaan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan nuklear, Bugorski tidak dibenarkan bercakap dan mendedahkan perkara tersebut kepada umum selama hampir satu dekad.
Rutin yang perlu dilakukannya ialah mendapatkan rawatan di klinik radiasi di Moscow dalam tempoh dua kali setahun. Di situlah dia akan bertemu dengan beberapa kenalan lain yang turut menjadi mangsa kemalangan nuklear.
Bugorski akhirnya berkahwin dengan gadis pilihannya, Vera Nikolaevna dan dikurniakan seorang anak lelaki. Apa yang dilalui lelaki ini disifatkan salah satu keajaiban apabila terselamat dalam kemalangan partikel cahaya.


______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

