Adakah cecair kekuningan dianggap haid? Wanita wajib tahu warna darah haid bagi elak perkara dilarang Islam

Dari Penulis

Penting bagi seorang wanita mengenalpasti warna-warna darah haid kerana melibatkan perkara yang dilarang  bagi wanita haid untuk melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf, tawaf, menyentuh dan membaca al-Quran.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, darah yang keluar daripada rahim itu terputus-putus akan dianggap sebagai darah haid dengan syarat darah itu keluar mencukupi 24 jam selama masih pada tempoh sepanjang-panjang haid ialah 15 hari.

Ikuti penjelasan ini.

Soalan :
Saya mengalami haid bermula darah kekuningan yang sangat sedikit ( 3-6 hari) dan kadang-kadang ada hari tidak keluar . Seterusnya diikuti darah merah yang banyak kemudian berkurang sehingga habis (5-6) hari. Sebelum ini bermula darah merah selama 9-10 hari. Persoalannya, adakah warna kekuningan yang hanya 2-3 titis tidak berterusan itu dikira awal permulaan haid? Hal tersebut berulang pada bulan seterusnya.

Jawapan :

Haid dari segi istilah syarak ialah darah tabi’i yang keluar daripada  pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu. Kebiasaan warna darah ialah kehitaman, merah, kuning atau warna keruh  seperti tanah atau air kotor dan berbau [al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:118 ]. Pendapat yang paling sahih dalam kalangan fuqaha Syafie ialah cecair warna kuning dan keruh yang keluar pada tempoh haid adalah termasuk dalam darah haid [Rujuk Minhaj al-Thalibin (88)]. Berikut riwayat berkaitan warna darah haid :

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ

Maksudnya: “Jika darah haid, maka sesungguhnya ia adalah darah berwarna hitam yang dikenali. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika selainnya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.”

Riwayat Abu Daud (286)

Riwayat Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/71) secara mu`allaq dan al-Muwatta’ (no.97):

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ

Maksudnya: Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

Rujuk juga al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (2/389) oleh Imam al-Nawawi

Sementara, warna kekuning atau keruh yang didapati bukan dalam tempoh haid atau selepas maksimum haid atau pada tempoh suci  tidak dianggap haid. Ini berdasarkan hadis Ummu A’thiyah:

كنَّا لا نعدُّ الكَدرةَ والصُّفرةَ بعدَ الطهرِ شيئًا

Maksudnya: Kami tidak menganggap darah yang keruh dan kekuningan yang keluar selepas tempoh suci itu darah haid

Hadis Bukhari (362)

Majoriti fuqaha memberi makna hadis tersebut ialah warna kuning dan keruh dianggap haid hanya khusus pada tempoh haid  [Rujuk Sharh Sahih Bukhari Li Ibn Battaal 1: (456)]

Panduan untuk mengetahui tempoh haid bermula ialah setelah mengalami sekurang-kurang tempoh suci 15 hari.

Seterusnya, darah yang keluar daripada rahim itu terputus-putus akan dianggap sebagai darah haid dengan syarat darah itu keluar mencukupi 24 jam selama masih pada tempoh sepanjang-panjang haid ialah 15 hari [Rujuk Sabila al-Muhtadin (1/139)]. Ini bermakna, cecair kekuningan atau keruh, mahupun warna darah merah yang tidak mencukupi syarat 24 jam, maka ia tidak dihukumkan darah haid. Atau dengan kata lain darah kurang 24 jam ialah darah istihadah atau darah fasad (rosak).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, warna cecair kekuningan yang keluar hanya titis-titisan dan terputus pada hari seterusnya adalah dianggap darah haid sekiranya keluar pada tempoh haid dan mencukupi atau lebih 24 jam selama masih pada tempoh 15 hari. Tambahan pula, titisan warna cecair kekuningan dianggap awal permulaan haid kerana selepasnya disusuli warna  merah yang sememangnya warna darah.  Sementara darah yang tidak keluar (naqo’) atau terputus selepas titisan kuning termasuk dalam fatrah haid (waktu haid).

Jadual berikut bagi situasi wanita tersebut (penanya) mengalami haid terputus-putus  serta warna haidnya cecair kekuningan :

HARIWARNA DARAH       Hukum
1  -2KuningDarah  yang keluar terputus-putus sekiranya keluar dalam waktu haid  menepati syarat 24 jam atau lebih dan digabungkan  sepanjang hari – hari fatrah haid (tempoh 15 hari) adalah darah haid
3–      ( naqo’)
4-6Kuning
7-10Merah

Tuntasnya, mengenalpasti warna-warna darah haid  sangat penting  kerana melibatkan perkara yang dilarang  bagi wanita haid untuk melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf, tawaf, menyentuh dan membaca al-Quran. Akhir kata, semoga panduan tersebut dapat memberi manfaat kepada semua. Ameen.”

Kredit : Mufti Wilayah


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Zulhijjah menyisih ego, membebas jiwa

Oleh : Pegawai Pejabat Zakat, Wakaf, Infaq (ZAWAIN) dan Pensyarah Sambilan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia...

More Articles Like This