BEBERAPA tahun lalu, pernah tular video yang menunjukkan satu fenomena aneh berlaku di Basra, Iraq. Rakaman itu menunjukkan keadaan langit di penempatan penduduk berubah menjadi merah. Situasi itu menimbulkan kebimbangan orang awam kerana kejadian tersebut disifatkan sebagai jarang berlaku.
Fenomena itu bukan saja mempengaruhi warna langit, bahkan turut menjadikan keadaan sekitar di Basra diselubungi rona warna yang sama. Dengan kata lain, semua objek yang kelihaan dalam video tersebut nampak merah termasuk bangunan, rumah, pokok malahan juga manusia dan haiwan.
Apa sebenarnya fenomena langit merah ini? Sebenarnya, ia berlaku disebabkan oleh serakan zarah terapung atau aerosol oleh cahaya matahari. Zarah-zarah debu atau partikel yang kaya dengan oksida besi telah menyebabkan warna merah terhasil di langit dan udara. Dengan kata lain, kandungan ion besi yang semakin tinggi menghasilkan warna merah yang lebih pekat.

Kejadian ini memiliki persamaan dengan ribut pasir yang kerap berlaku di beberapa tempat lain. Cumanya, apa yang berlaku di Basra itu disebabkan oleh kandungan oksida besi yang banyak di dalam zarah-zarah pasir. Ribut yang disebabkan oleh angin kencang telah membawa pasir menjelajah sehingga ke lokasi tertentu. Dalam masa sama, serakan ke atas pasir dipengaruhi oleh kehadiran cahaya matahari sekali gus mengubahnya menjadi merah.
Keadaan menjadi semakin gelap ketika waktu malam kerana tiada sumber cahaya. Pada masa sama, zarah-zarah debu masih lagi terapung di udara menyebabkan pandangan penduduk semakin terjejas. Selain di Basra, terdapat beberapa kejadian sama dilaporkan berlaku berhampiran Gurun Tengah Australia yang menjejaskan bandar Sydney pada tahun 2009 dan di Benghazi, Libya pada tahun 2015.
Kejadian ini merupakan proses semula jadi dan tidak mendatangkan kesan terhadap atmosfera udara. Walau bagaimanapun, hanya ribut pasir yang menerbangkan banyak habuk pasir ke udara membawa impak negatif kepada masyarakat, pertanian, persekitaran dan ekonomi.
Ribut pasir yang kencang menjejaskan jarak penglihatan dan kualiti udara. Selain itu, manusia juga berisiko mengalami alahan dan penyakit pernafasan apabila menghidu udara tersebut. Kesan sampingan turut berlaku dalam bidang pertanian apabila debu yang terdapat pada permukaan pokok akan merencatkan pertumbuhan tanaman dan memusnahkannya.
Bangunan dan rumah penduduk juga terjejas apabila dilitupi pasir dan habuk kesan daripada kejadian tersebut. Pada masa sama, risiko untuk diterbangkan oleh ribut atau angin kencang juga boleh berlaku. Dalam kejadian ini, masyarakat dinasihatkan untuk tidak berada di luar rumah sebagai langkah keselamatan.

Angin kencang tidak berlaku dalam masa yang panjang sehingga mencecah beberapa hari. Ia berlaku secara tiba-tiba dan bukan sepanjang masa. Begitu juga dengan fenomena ribut pasir. Namun, keadaan ini boleh terjadi dengan lebih buruk jika tempat itu mengalami pencemaran udara yang teruk seperti pelepasan gas daripada jumlah kenderaan yang banyak yang menyebabkan kualiti udara menjadi rendah. Punca-punca tersebut berpotensi menjadi penyumbang kepada kesan fenomena lebih dasyat.
Fenomena langit merah seperti ini boleh berlaku di tempat berpasir lain terutama di gurun. Ini berikutan keadaan lokasi yang kering dan tidak mempunyai sumber air untuk membentuk awan dan menghasilkan hujan. Kehadiran hujan dikatakan dapat membantu mengurangkan kejadian ini. Bagaimanapun, tiada awan yang wujud di kawasan berkenaan sekali gus menyebabkan tiada hujan.
Malaysia cukup bertuah kerana dikelilingi oleh air laut seperti Selat Melaka dan barat Lautan Pasifik dan disebabkan itu wujudnya banyak awan. Sebaliknya, kawasan kering dan berpasir di lokasi seperti Iraq, Gurun Sahara, Afrika dan semenanjung Arab kurang mempunyai awan yang terbentuk.
Bagaimanapun, saintis di China telah mewujudkan teknologi penghijauan padang pasir atau ‘desert greening’. Ia merupakan satu kaedah yang dapat mengubah padang pasir menjadi tanah pertanian untuk menanam tumbuhan semulajadi. Teknologi berkenaan pernah dibentangkan di Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menangani isu desertifikasi (penggurunan).
Sepanjang enam bulan, lebih daripada 200 hektar pasir di Gurun Kubuqi berubah menjadi ladang yang menghasilkan jagung, tomato dan bunga matahari hasil teknologi tersebut.

_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

