PELAKON Riena Diana menempelak segelintir pihak yang mengaitkan isu dia berpakaian seksi ketika sambutan malam tahun baharu baru-baru ini disebabkan berhadapan dengan episod putus cinta.
Jelas Riena atau Qamarina Diana Zulreal,26, dia juga memohon agar orang ramai tidak mengaitkan penampilannya yang mencolok mata itu dengan bekas kekasihnya, Nik Afiq.
“Saya tak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang saya bangga berpakaian seksi.
“Saya tak pernah cakap seksi itu adalah azam tahun baru saya.
“Jangan memandai cakap saya putus cinta lepas itu terus seksi. Anda tidak mengenali saya, jadi jangan pandai-pandai jatuhkan hukum pada saya. Nak komen boleh tapi jangan sampai menjatuhkan orang dan macam korang bagus sangat,” luahnya.
Malah, kata pelakon Kampung People itu lagi, dia meminta mereka yang tidak suka dengan penampilannya untuk tidak terus mengikutinya di laman sosial.
“Tak suka? Boleh ‘unfollow’ sebab ramai lagi orang yang suka cara saya dan suka tengok saya bukan sebab pakaian.
“Saya tak perlu jelaskan siapa diri saya. Sekarang saya tahu siapa kawan dan siapa lawan saya.
“Terima kasih atas kepada yang memberi kata-kata semangat. Demi kesihatan mental, saya buat keputusan untuk tidak membaca komen-komen negatif yang ditinggalkan kepada saya,” jelasnya.
Nama Riena menjadi sorotan apabila dia yang berkongsi gambarnya yang sedang menyambut tahun baharu 2023 telah mendapat kecaman susulan pakaian rona hitam yang digayakannya agak terdedah di bahagian dada dan menampakkan perutnya.
Warganet menyuarakan rasa kurang senang dengan imej Riena yang seksi dan dilihat tidak manis untuk dijadikan tontonan ramai.
Untuk rekod, Riena mengesahkan sudah putus cinta dengan Nik Afiq selepas empat tahun menjalinkan hubungan kasih.

