PERNAH ditawarkan untuk melakonkan watak penyondol, pelakon dan penyanyi Wani Kayrie bagaimanapun menolak dengan baik tawaran tersebut.
Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah,24, terpaksa bertegas dan mempertahankan prinsipnya untuk tidak menerima sebarang watak yang memberi impak negatif biarpun hanya sekadar lakonan.
“Sejujurnya selepas diberikan tawaran watak itu (penyondol), saya tertanya-tanya kenapa saya? Tapi pihak produksi ada beritahu kalau saya tak selesa, mereka boleh tukar sedikit watak tersebut.
“Tapi saya bertegas menolak. Itu adalah pendirian saya dan saya rasa watak kaki sondol, perampas, seksi dan liar bukan untuk saya.
“Saya sangat selektif bila memilih naskhah untuk berlakon. Saya bukan seorang yang akan ambil watak yang bukan-bukan sewenangnya.
“Minat utama saya ialah nyanyian. Bidang lakonan pula sekadar suka-suka tetapi sekiranya ada tawaran, memang saya akan memilih,” katanya kepada URTV ketika ditemui baru-baru ini.
Pada masa sama, penyanyi lagu Balik Raya itu sentiasa ingat pesan ibunya agar menjaga nama baik keluarga dan maruah diri apabila sudah bergelumang dalam dunia seni.
“Saya selalu ingat pesan ibu, kalau nak buat apa-apa keputusan kena ingat keluaarga dan kena pandai jaga maruah diri.
“Saya pula seorang yang sangat menjaga imej dari awal pembabitan dalam dunia seni sehinggalah sekarang. Sebab itulah, saya kurang selesa bila diberikan watak kena berpakaian seksi, menggoda dan liar.
“Tanpa kita sedar, watak tersebut akan beri kesan negatif kepada penonton walaupun pada awalnya mungkin pengarah nak beri mesej pengajaran. Kalau pun watak tersebut berjaya lonjakkan lakonan saya tapi tetap saya rasa tak selesa,” ujarnya.
Menolak dirinya seorang yang ‘demand’, Wani memaklumkan dirinya berhak untuk membuat pilihan namun bersyukur pihak produksi memahami keputusannya.
“Bila kita dah tolak tawaran daripada sebuah produksi, memang akan ada kesannya yang perlu saya tanggung.
“Mungkin ada segelintir penerbit lain labelkan saya seorang yang memilih tapi tak mengapalah jika sudah tertulis bukan rezeki saya.
“Saya serang yang percaya kepada rezeki. Insya-Allah, akan ada tawaran lain yang sesuai untuk saya pada masa akan datang,” akhirinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

